CALON BN DUN Bukit Katil Datuk Wira Hasnoor Sidang Husin. FOTO Syafeeq Ahmad
CALON BN DUN Bukit Katil Datuk Wira Hasnoor Sidang Husin. FOTO Syafeeq Ahmad
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Ayer Keroh: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil perlu memberi mandat kembali kepada Barisan Nasional (BN) supaya mudarat yang berlaku sepanjang tempoh 22 bulan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tidak kembali berulang.

BN mempertaruhkan Datuk Wira Hasnoor Sidang Husin untuk merampas kembali kerusi itu yang sebelum ini disandang bekas Ketua Menteri, Adly Zahari.

Hasnoor berkata, dia menganggap persaingan di Bukit Katil hanya membabitkan BN dan PH memandangkan dua lagi pesaing sekadar 'menyelit' di kerusi berkenaan.

Katanya, dengan rekod perkhidmatan dan kejayaan BN mentadbir Melaka, pengundi perlu terus memberikan mandat kepada parti itu untuk mentadbir.

"Pengundi perlu bijak memilih parti yang akan mewakili mereka supaya mudarat selama 22 bulan tidak berulang kembali.

"Pengalaman bersama masyarakat yang saya miliki mampu memberikan anjakan baharu kepada Bukit Katil," katanya ketika ditemui.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Hang Tuah Jaya berkata, persaingan di padang yang rata dianggap adil apabila calon perlu bijak menggunakan kaedah kempen norma baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Menurutnya, gerak kerja BN dalam menyantuni rakyat tidak boleh disangkal kerana tetap teguh bekerja walaupun 'hilang kuasa' selama 22 bulan.

"Lebih seminggu bertemu rakyat, rata-rata mereka mengakui tertekan ketika PH memerintah Melaka apabila banyak perkara, terutama isu penduduk tidak dapat diselesaikan.

"Rakyat mahu perubahan dan ini adalah masa terbaik untuk memberikan kembali mandat kepada BN. Jangan ulangi kesilapan lalu dengan dibuai janji manis yang tidak realistik untuk ditunaikan," katanya.

Katanya, Bukit Katil yang juga kawasan 'sub urban' antara bandar Melaka dan Ayer Keroh memiliki pelbagai potensi untuk dimajukan.

"Antaranya, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur rakyat akan terus diperkasakan bagi membalas semula kepercayaan dan mandat diberikan rakyat," katanya.

Berita Berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 1:33 PM