Calon Barisan Nasional Ayer Keroh, Yong Fun Juan bercakap ketika temubual bersama kumpulan NSTP. FOTO ASYRAF HAMZAH
Calon Barisan Nasional Ayer Keroh, Yong Fun Juan bercakap ketika temubual bersama kumpulan NSTP. FOTO ASYRAF HAMZAH
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Ayer Keroh: Masalah setempat, khususnya di taman perumahan dan kampung sekitar Ayer Keroh menjadi tumpuan Barisan Nasional (BN) sekiranya calon daripada parti itu diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Yong Fun Juan berkata, sepanjang tempoh kempen dia menerima banyak aduan daripada penduduk setempat mengenai fasiliti yang tidak diselenggara dengan baik.

Selain itu, beliau berkata, pembangunan infrastruktur yang baik turut menjadi tumpuannya sebaik mandat diberikan oleh penduduk di situ.

"Dalam kesibukan berkempen, saya sempat mengunjungi Taman Muzaffar Height Fasa Tiga yang berdepan masalah penyelenggaraan lampu jalan, penutup longkang dan pokok.

"Saya dapat aduan daripada penduduk masalah itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu dan tidak diselesaikan oleh pihak berwajib, jadi saya sudah berhubung dengan pemaju dan pihak berkuasa tempatan untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh terdekat," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Penduduk Taman Muzaffar Height Fasa Tiga, Jefri Terimo berkata, aduan yang dibuat kepada Fun Juan diharapkan dapat diselesaikan secepat mungkin sebaik BN kembali mendapat mandat.

Katanya, aduan sudah dibuat beberapa kali kepada pihak berwajib, namun masih menyepi sehingga kini.

"Penduduk sudah lama menunggu masalah ini selesai dan diharap wakil rakyat baharu nanti boleh membantu mempercepatkan masalah ini diselesaikan.

"Masalah ini jika dibiarkan berlarutan boleh membahayakan penduduk dan mengundang risiko kecelakaan," katanya.

Berita Berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 1:07 PM