FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Jasin: Lokasi perniagaan yang lebih strategik dan teratur menjadi permintaan penjaja kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, di sini, kepada wakil rakyat yang bakal diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Peniaga buah, Syawal Abu Samah, 33, berkata, dia berniaga di Pekan Selandar sejak dua tahun lalu sebagai alternatif untuk meneruskan hidup.

Katanya, infrastruktur gerai yang serba daif itu memerlukan perhatian segera daripada wakil rakyat yang bakal dipilih penduduk di kawasan berkenaan pada pilihan raya kali ini.

"Saya sudah berniaga lebih dua tahun di sini dan berharap infrastruktur perniagaan yang lebih sesuai dan selesa dapat disediakan oleh kerajaan kelak.

"Ini akan membantu meningkatkan pendapatan penjaja tempatan yang mengharapkan jualan daripada penduduk setempat dan pelancong luar," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan punca utama pendapatan terjejas sejak lebih setahun lalu.

"Saya mengharapkan kawasan Asahan dapat dibangunkan sebagai lokasi tumpuan pelancong pada masa akan datang.

"Sebaik rentas negeri dibenarkan, hasil jualan meningkat namun ia berpotensi untuk dilonjakkan lagi jika mendapat promosi yang baik daripada kerajaan negeri.

"Kebanyakan penduduk berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung hidup dan ia boleh dikembangkan sekiranya kerajaan negeri menjadikan Asahan sebagai lokasi wajib kunjung kepada pelancong dengan pelbagai tawaran pelancongan," katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Asahan, Fairul Nizam Roslan berkata, peningkatan taraf ekonomi rakyat menjadi antara agenda utama sebaik mandat diberikan pada PRN Melaka.

"Hasil gerak kerja yang dijalankan mendapati penjaja memerlukan infrastruktur perniagaan yang lebih baik dan pelbagai.

"Golongan muda juga boleh turut serta menjadi peniaga, sesuai dengan usaha kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 11:46 AM