ROKOK dan treler yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan PGA
ROKOK dan treler yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan PGA
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barangan dianggarkan bernilai RM35,421,484.22 menerusi Op Kontraban sejak Januari lalu sehingga Isnin lalu.

Komander Briged Tengah PGA Cheras Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, antara barang-barang yang dirampas menerusi operasi itu adalah rokok, minuman keras, dadah, mercun, beras dan kenderaan.

"Untuk rekod, bermula 1 Januari lalu sehingga 23 Mei, Briged Tengah PGA melancarkan 56 serbuan membabitkan Op Kontraban di sekitar Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan Melaka dan Johor.

"Dalam semua serbuan itu, pasukan operasi berjaya menangkap 126 individu berumur antara 23 hingga 64 tahun yang terbabit secara langsung dalam aktiviti penyeludupan barang-barang kontraban.

"Kejayaan itu adalah pendekatan serta tindakan bagi membanteras kegiatan penyeludupan di seluruh negara menerima Op Kontraban yang dilancarkan awal tahun ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas mengenai serbuan terkini Isnin lalu, Muhammad berkata, pihaknya berjaya menahan dua lelaki tempatan bersama 11,350 karton rokok dipercayai tidak bercukai di sebuah premis di Kampung Telok Gong, di sini.

"Suspek ditahan kira-kira jam 7 malam selepas mendapati mereka masing-masing berusia 28 dan 31 tahun itu sedang memunggah rokok.

"Penahanan mereka membawa kepada rampasan 227 kotak rokok seludup berjenama Zon King di mana setiap kotak mengandungi 50 karton. Polis turut merampas treler jenis Scania 360 (40 kaki) yang dipercayai digunakan dalam sindiket terbabit," katanya.

Muhammad berkata, nilai rampasan keseluruhan bernilai RM2,749,200 itu disyaki untuk pasaran sekitar Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor.

"Suspek dan hasil rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 10:14 AM