Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: "Sedih memang sedih tetapi saya perlu kuat demi keluarga apatah lagi isteri, Raja Nurul Syuhada Raja Hasan, 35, sedang berpantang selepas melahirkan anak kembar kami," kata Azman Awang@Setapa, 44, bapa kepada Muhammad Adif Danial, 10, yang maut dalam kemalangan di Jalan Bukit Putera, di sini, semalam.

Azman berkata, kehilangan anak kedua daripada lima beradik itu meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mereka.

Azman Awang@Setapa, 44 semasa menziarah pusara anaknya, Muhammad Adif Danial, 10, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Bukit Putera di sini, semalam. FOTO GHAZALI KORI
Azman Awang@Setapa, 44 semasa menziarah pusara anaknya, Muhammad Adif Danial, 10, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Bukit Putera di sini, semalam. FOTO GHAZALI KORI

"Arwah merupakan anak sulung lelaki dan kami memang sedih namun mujurlah isteri dapat menerima keadaan.

"Saya memang bimbangkan keadaan isteri kerana dia baharu sahaja melahirkan anak keempat dan kelima pada 20 Oktober lalu.

"Namun, mujurlah Allah beri kekuatan kepada isteri dan dia juga sempat menatap wajah anak kami sebelum arwah dibawa ke tanah perkuburan kira-kira jam 9.30 pagi tadi," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Putera di sini, semalam.

Azman berkata, anak saudaranya, Ahmad Syahiran Saiful Razali,13, yang cedera parah dalam kejadian sama kini dirawat Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

"Saya dimaklumkan ahli keluarga yang dia sedar dan akan menjalani pembedahan nanti," katanya.

Sementara itu, Rosmani Arifin, 46, berkata, dia tidak menyangka pertemuan pada Rabu malam itu adalah pertemuan terakhirnya bersama Allahyarham Azuka Muhamad, 46, atau lebih mesra dipanggil Jali yang juga kawannya sejak kecil.

"Kami memang rapat dan dia ada datang rumah pada Rabu malam dan saya minta dia cat rumah tetapi dia bagi tahu tak sempat. Arwah janji akan cat rumah hari ini namun Allah lebih sayangkan dia. Arwah ini istimewa tetapi dia sangat baik dan disenangi penduduk kampung kerana sikapnya itu," katanya.

Terdahulu, jenazah Muhammad Adif Danial dan seorang lagi mangsa yang juga pejalan kaki, Azuka selamat dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Putera kira-kira jam 10.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 5:40 PM