Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Jenazah pendaki Malaysia, Hazlami Ahmad Nizam, 33, yang meninggal dunia di pergunungan Mea Peak, Nepal, Khamis lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, di sini, 5 petang, hari ini.

Lebih 100 orang termasuk ahli keluarga dan kenalan Allahyarham hadir untuk memberi penghormatan terakhir termasuk bapa arwah, Ahmad Nizam Damiri, 65, dan kakak sulungnya, Nur Liyana, 35.

Jenazah Hazlami tiba di Masjid Muhibbudin, Sungai Pasir dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 3 petang untuk disolatkan.

Sepupu arwah, Shahidah Nailul Morad, 37, berkata, arwah seorang yang sangat baik dan mereka membesar sama-sama sejak kecil.

Katanya, dia seolah tidak percaya yang Hazlami sudah tiada dan tidak tahu arwah pergi ke Nepal berapa lama.

"Dia ke sana untuk misi pendakian dan mempunyai pengalaman dalam pendakian di luar negara sebelum ini.

"Kehilangan arwah amat dirasai," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Shahidah, Hazlami seorang individu yang sukakan aktiviti lasak dan mencabar dan meninggalkan seorang isteri, Nur Farhah Busyra Ismail, 33, dan tiga anak termasuk Mawardah, 6; Muhammad, 4; dan Munawarah, 1.

Katanya, isteri Allahyarham kini sedang hamil 26 minggu dan dijangka bersalin Januari tahun depan.

Hazlami meninggal dunia ketika menyertai aktiviti mendaki di Mera Peak, Nepal dan pihak hospital mengesahkan kematian berpunca daripada serangan akut gunung.

NUR Liyana menemani anak saudaranya, Mawardah iaitu anak sulung Hazlami di pusara bapanya selepas selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit. FOTO Zuliaty Zulkiffli
NUR Liyana menemani anak saudaranya, Mawardah iaitu anak sulung Hazlami di pusara bapanya selepas selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 7:06 PM