Mohd Amin Jalil


Tampin: Kos menunaikan ibadah haji akan datang yang dijangka berlaku peningkatan bakal diketahui pada hujung tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, Kabinet akan memutuskan kos berkenaan dalam tempoh terdekat.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kos haji akan datang bakal meningkat jika mengambil kira ketetapan oleh Kerajaan Arab Saudi yang menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sehingga 15 peratus.

"Malah, dengan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu susulan pandemik Covid-19, yang mana penginapan hotel atau bilangan jemaah yang menginap dihadkan, sudah tentu akan membabitkan pertambahan kos.

"Namun, Kabinet akan menetapkan kadar itu dalam tempoh terdekat... dijangka sebelum Januari tahun depan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Klinik Rohani di Hospital Tampin, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd Zaidi Ramli; Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS), Dr Mohd Ferous Alias dan Pengarah PKRC Tampin, Dr Siti Abidah Rodzi.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) bagaimanapun akan terus menyediakan subsidi, namun kadar subsidi sebenar itu belum ditetapkan.

Menurutnya, kos sebenar menunaikan haji adalah sebanyak RM24,000 tetapi kerajaan hanya mengenakan caj RM9,980 untuk seorang jemaah.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, kos haji dijangka meningkat pada musim haji akan datang susulan pelbagai SOP yang perlu dipatuhi bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Pada 2019, kerajaan memutuskan bayaran menunaikan haji bagi jemaah muassasah kali pertama kekal RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920.

Kos haji bagi tahun lalu adalah RM22,900 berbanding RM22,450 pada musim sebelumnya, namun Malaysia tidak menghantar jemaah susulan pandemik.

AHMAD Marzuk (tengah) menziarahi mangsa kebakaran, Mohd Yusof Kamaruzaman, 31,  selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Lorong Nik Pa, Jalan Sultanah Zainab. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Marzuk (tengah) menziarahi mangsa kebakaran, Mohd Yusof Kamaruzaman, 31, selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Lorong Nik Pa, Jalan Sultanah Zainab. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 5:06 PM