GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiada keperluan bagi pemegang kad orang kurang upaya (OKU) yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memperbaharui kad setiap tahun bagi membolehkan mereka mendapat bantuan kewangan secara bulanan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pembaharuan kad OKU hanya perlu dilakukan sekiranya terdapat perubahan kategori atau sub-kategori OKU.

"Pemegang kad juga boleh membuat penukaran kad sekiranya ingin menukar alamat atau gambar terkini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Natrah Ismail (PH-Sekijang) mengenai isu pemegang kad OKU JKM yang perlu memperbaharui kad mereka setiap tahun.

Siti Zailah juga memaklumkan bahawa mengikut statistik sistem maklumat OKU, seramai 582,944 OKU berdaftar dengan JKM hingga 30 September lalu.

Beliau berkata secara keseluruhan dari 2018 hingga 13 Oktober lalu, sebanyak 163,647 permohonan pendaftaran OKU diterima dan 153,627 orang diluluskan permohonan mereka.

Setakat Ogos lalu, seramai 92,265 OKU yang bekerja dengan pendapatan RM1,500 dan ke bawah menerima Elaun Pekerja OKU sebanyak RM450 sebulan dengan kos keseluruhan RM329.6 juta manakala seramai 83,929 menerima Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja membabitkan kos RM202.5 juta.

"Selain itu, seramai 25,835 penjaga OKU atau pesakit terlantar menerima Bantuan Penjagaan OKU atau Bantuan Pesakit Kronik Terlantar (BPT) yang berjumlah RM106.8 juta iaitu hampir 35 peratus OKU yang berdaftar atau penjaganya menerima bantuan JKM dengan nilai RM638.9 juta hingga Ogos lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 2:53 PM