Omar Ahmad.


Johor Bahru: Seorang penunggang motosikal bernasib baik apabila hanya cedera ringan selepas terjatuh akibat mengelak kon dan nyaris digilis lori di Jalan Kempas Lama- Seelong, di sini, pada Jumaat lalu.

Kejadian pada 9 malam itu tular di media sosial dan penunggang motosikal berusia 28 tahun itu sudah membuat laporan polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mangsa cedera ringan dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) pada 2 pagi 6 November.

"Kejadian ini tular apabila video dikongsikan itu memaparkan seorang penunggang motosikal nyaris digilis lori selepas hampir melanggar kon diletakkan di atas jalan sedang diselenggara di Jalan Kempas Lama- Seelong.

"Kontraktor penyelenggaraan jalan raya di negeri ini diingatkan supaya memastikan kon diletakkan di atas jalan raya berisi air atau pasir bagi memastikan ia tidak bergerak," katanya pada sidang media Op Bersepadu Bas Pekerja di Taman Impian Emas, Skudai di sini, hari ini.

TANGKAP layar daripada video tular.
TANGKAP layar daripada video tular.

Beliau berkata, kon terbabit perlu diletakkan dengan cara betul kerana jika kenderaan bermuatan berat seperti lori dan bas melalui jalan raya sedang dalam penyelenggaraan itu, ia akan bergerak.

Menurutnya, kontraktor perlu memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah terhadap sebarang kerja penyelenggaraan jalan yang memerlukan mereka meletakkan kon, jika gagal tindakan tegas akan diambil.

"Saya tidak mahu bila sudah berlaku sesuatu insiden baru hendak ambil tindakan.

"Sudah banyak insiden berlaku sebelum ini dan perlu dijadikan pengajaran," katanya.

Video berdurasi 34 saat dirakam kamera papan pemuka sebuah kereta memaparkan pemandu itu berhenti selepas melanggar kon jatuh di tepi jalan dalam penyelenggaraan.

Kemudian penunggang motosikal dipercayai cuba mengelak kon itu terjatuh sebelum hampir digilis lori.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 11:25 AM