Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis sedang mengesan pemandu kenderaan yang memasuki laluan motosikal di Kilometer 29.5 Lebuhraya Persekutuan di sini, sehingga membahayakan penunggang motosikal seperti tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang memasuki laluan motosikal menghala Shah Alam itu adalah Proton Persona.

Menurutnya, laporan polis sudah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis meminta pemilik atau pemandu kereta dan mana-mana saksi yang melihat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.

"Mereka boleh ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Rozilah Hussin di talian 016-2679025," katanya dalam kenyataan, hari ini.

TANGKAP layar daripada video menunjukkan Proton Persona di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan.
TANGKAP layar daripada video menunjukkan Proton Persona di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan.

Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan papan tanda dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.

Sebelum ini pernah beberapa kali dilaporkan kejadian sama iaitu kereta memasuki laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan selepas rakaman video kejadian tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 8:10 AM