Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Tindakan penghantar makanan yang melanggar lampu isyarat merah di Jalan Sultan Azlan, dekat Bercham, di sini, mengundang padah apabila dia dikenakan saman oleh anggota trafik yang menunggang motosikal di belakangnya.

Kejadian itu tular melalui klip video berdurasi 36 saat yang dirakam menggunakan kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain sebelum ia dimuatnaik di Facebook (FB) Polis Daerah Ipoh.

Menurut hantaran berkenaan, rakaman video 'dashcam' itu tular di laman sosial dan berlaku jam 9.45 pagi semalam.

Menerusi hantaran itu, tindakan saman diambil oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berpangkat Koperal.

"Tindakan saman diambil oleh Koperal Mohd Amin Ismail ke atas penunggang motosikal terbabit yang melanggar isyarat lalu-lintas di Jalan Sultan Azlan Shah/ Bercham yang tular di laman sosial baru-baru ini," kata hantaran itu yang disiarkan malam ini.

Sementara itu rakaman video terbabit memaparkan penghantar makanan itu tidak menyedari anggota polis trafik berada di belakangnya sebelum melanggar lampu merah sebaik tiada kenderaan melalui susur simpang dari arah berlawanan.

Sejurus melanggar lampu isyarat merah berkenaan, video seterusnya memaparkan penghantar makanan itu 'dikejar' oleh polis trafik terbabit yang kemudiannya mengarahkan supaya berhenti di bahu jalan dipercayai bagi proses pengeluaran saman.

TANGKAP layar rakaman yang tular. FOTO FB Polis Daerah Ipoh
TANGKAP layar rakaman yang tular. FOTO FB Polis Daerah Ipoh

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 12:06 AM