Anggota APM membantu memindahkan mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat di Kampung Jerai, Sik hari ini. Foto Ihsan APM
Anggota APM membantu memindahkan mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat di Kampung Jerai, Sik hari ini. Foto Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli

Sik: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu memindahkan lima mangsa di dua kampung selepas mereka terperangkap dalam banjir di sini, hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aisyah Mohd Napiah berkata, empat daripada mangsa terbabit dari Kampung Jerai, manakala seorang mangsa di Kampung Banggol Liat.

Menurutnya, hujan lebat berterusan sejak 5 petang menyebabkan paras air sungai melimpah menyebabkan 10 kawasan di sini dinaiki air.

Katanya, antara kawasan terbabit termasuklah Bendang Man, Kampung Seberang Pekan Sik, Kampung Jerai, Telaga Batu, Kampung Tanjung, Kampung Belimbing, Kampung Lubuk Tualang, Kampung Banggol Kiat, Kampung Namek Tua dan belakang pasar Sik.

"Kesemua lima mangsa itu terdiri daripada dua wanita, seorang bayi dan dua kanak-kanak iaitu lelaki dan perempuan.

"Operasi memindahkan mangsa dilakukan bermula 9.11 malam dan kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke rumah saudara berhampiran," katanya.

Haisul Aisyah berkata, paras air setakat ini dianggarkan kira-kira 0.3 hingga satu meter di kawasan kampung yang dilanda banjir berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan di kawasan yang terjejas dalam banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 11:59 PM