ANGGOTA APM Sik membantu memindahkan mangsa yang terperangkap akibat banjir kilat. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM Sik membantu memindahkan mangsa yang terperangkap akibat banjir kilat. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Sik: Hujan lebat melebihi dua jam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat, hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, antara kawasan terjejas adalah Kampung Banggol Kiat, Taman Derdap dan Kampung Jerai di Mukim Sik manakala Kampung Pinang dan Kampung Surau di Mukim Sok.

"Air mula naik di Kampung Banggol Kiat pada 6.20 petang sebelum anggota kami mula melakukan pemantauan.

"Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sik kemudian menerima maklumat berhubung banjir kilat di Kampung Jerai pada 7.05 petang dan air mula melimpah ke rumah di Kampung Pinang jam 7.17 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Haisul Aishah berkata, pihaknya kemudian menerima maklumat terdapat dua awam yang sudah berpindah ke Balai Islam Kampung Jerai.

Selain itu, terdapat juga laporan mangsa terperangkap di Kampung Jerai pada 8.10 malam, sebelum diselamatkan.

"Ketika ini, hujan sudah berhenti namun orang ramai dinasihatkan supaya menghubungi pasukan penyelamat sekiranya kediaman mereka ditenggelami air," katanya.

Sementara di Bandar Baharu, sebanyak 37 rumah penduduk di tiga kampung di daerah ini dinaiki air.

Bagaimanapun hanya 16 rumah penduduk yang membabitkan 62 mangsa di Kampung Banggol Rashid dimasuki air dalam rumah manakala 21 rumah di kampung itu serta Kampung Kuala Selama dan Kampung Kuala Dingin hanya dinaiki air di kawasan halaman rumah.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, limpahan air berlaku daripada Sungai Selama, Sungai Mahang dan Sungai Dingin akibat hujan lebat sejak semalam.

Beliau berkata, bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 10:07 PM