AGIHAN pek makanan oleh anggota Kasiswa kepada penuntut UKM yang memerlukan. FOTO Ihsan Kasiswa.
AGIHAN pek makanan oleh anggota Kasiswa kepada penuntut UKM yang memerlukan. FOTO Ihsan Kasiswa.
Redzuan Muharam


Bangi: Bagi memastikan tiada penuntut yang mengikat perut Persatuan Kasih Mahasiswa (Kasiswa) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneruskan inisiatif agihan pek makanan mingguan dan bulanan, mulai bulan ini.

Naib Yang Dipertuanya Muhammad Izad Nashrin Ismail berkata, 300 hingga 500 pek makanan akan diagihkan setiap minggu kepada penuntut memerlukan, bergantung dengan dana dikumpul hasil sumbangan individu dan korporat.

Katanya, agihan akan dilakukan sekali seminggu di dalam kampus dan mana-mana penuntut boleh mengambil pel makanan itu sekiranya memerlukan.

"Inisiatif pek makanan ini sebenarnya bermula sejak lima tahun lalu cuma nama asalnya adalah 'Food for Mahasiswa' sebelum diubah kepada Kasiswa.

"Objektif utama adalah membantu penuntut yang kekurangan duit untuk membeli makanan supaya mereka tidak sampai tahap mengikat perut atau berlapar.

"Lazimnya, kita lakukan agihan sekali pada hujung minggu di Pusat Pengurusan Pusanika (Pusanika) atau lokasi ditetapkan dalam kampus dan kali terakhir dilaksana pada Ramadan lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan aktiviti agihan dihentikan dan pek makanan diserah menerusi wakil kolej penginapan seiring pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Selain bantuan itu, Muhammad Izad Nashrin berkata, Kasiswa turut mengagihkan bantuan makanan kering seperti biskut dan minuman tiga dalam satu kepada penuntut, secara purata sekali dalam sebulan.

Beliau berharap aktiviti itu mendapat sokongan semua pihak dan mereka yang mahu membantu boleh menyalur sumbangan ke dalam akaun Maybank 562263553547 atas nama Persatuan Kasih Mahasiswa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 11:01 PM