Ahli Kasiswa ketika mengagihkan barangan keperluan di PPS. FOTO ihsan pembaca
Ahli Kasiswa ketika mengagihkan barangan keperluan di PPS. FOTO ihsan pembaca

Hulu Langat: Persatuan Kasih Mahasiswa Malaysia (Kasiswa) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turun padang menyantuni mangsa banjir di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dengkil, Banting dan Hulu Langat sambil menghulurkan bantuan barangan keperluan.

Antara PPS itu termasuk di SRA Datuk Ahmad Razlai dan SMK Dengkil, SMK Sungai Manggis, Banting dan Dewan Serbaguna Sungai Lui, di sini.

Jurucakapnya berkata, seramai 18 sukarelawan dan seorang Felo Perdana terbabit dalam program itu.

Antara bantuan yang diberikan bagi mereka yang terkesan adalah air mineral, makanan, berus dan ubat gigi, pelitup muka, pakaian, keperluan asas bayi, lampin pakai buang serta kit kebersihan.

Katanya, pada masa sama juga pihaknya melancarkan Tabung Bantuan Banjir dalam usaha meringankan kesukaran dialami mangsa akibat bencana alam yang berlaku baru-baru ini.

"Semua sumbangan akan disalurkan kepada semua mangsa terjejas. Sumbangan boleh dibuat melalui akaun Maybank 562263553547. Semoga sumbangan dapat membantu sesama insan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 4:05 PM