PENUNTUT UM mendapat agihan makanan daripada pengurusan. FOTO IHSAN UM
PENUNTUT UM mendapat agihan makanan daripada pengurusan. FOTO IHSAN UM
Redzuan Muharam

[email protected].

Kuala Lumpur: Universiti Malaya (UM) mengambil beberapa inisiatif bagi membantu 1,686 penuntutnya yang masih tinggal di kolej kediaman sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan antara usaha awal dilakukan adalah mengenalpasti jumlah penuntut berada di kolej kediaman.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Profesor Ir. Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, fokus utama UM adalah menjaga kebajikan dari segi keperluan asas, kesihatan dan keselamatan penuntut berkenaan.

“UM memastikan kafeteria dan kedai runcit di kolej kediaman beroperasi bagi membolehkan penuntut membeli makanan dan mendapatkan keperluan asas sepanjang PKP dijalankan.

“Di samping itu, UM juga menyediakan makanan kepada penuntut yang masih tinggal di kolej kediaman dan agihan makanan dibuat sebanyak tiga kali sehari bermula 23 Mac hingga tempoh PKP berakhir.

“Terdapat juga beberapa pihak prihatin terhadap penuntut yang masih berada di dalam kampus dan ingin membuat sumbangan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Abdul Aziz, bagi memudahkan sumbangan itu disalurkan, One Stop Centre diwujudkan pada 20 Mac lalu.

Pusat sehenti itu diwujudkan bagi membolehkan individu perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mana-mana agensi berminat membantu menyumbang makanan dan keperluan harian kepada penuntut dan kakitangan yang berada di dalam serta luar kampus.

“Antara penyumbang yang bermurah hati memberikan sumbangan adalah Gardenia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Food Bank Malaysia, Masjid Ar-Rahman dan bekas jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

“Sementara itu, Tabung Covid-19 UM juga ditubuhkan bagi mengumpul sumbangan untuk membantu warga UM terutamanya pelajar yang terjejeas akibat Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, pengecualian bayaran yuran penginapan kolej kediaman juga diberikan kepada semua penuntut UM sepanjang PKP di jalankan.

Inisiatif itu bertujuan membantu meringankan beban penuntut dah keluarga sepanjang PKP dijalankan.

“Tidak dilupakan juga kepada penuntut menginap di luar kampus yang tinggal di kawasan berdekatan Pantai Dalam dan Petaling Jaya (dalam linkungan lima Kilometer radius dari kampus utama) yang menerima bekalan makanan kering diedarkan oleh pihak pengurusan.

“Sehingga kini, seramai 1,209 penuntut luar kampus terdiri daripada pelbagai peringkat pengajian termasuk warganegara dan bukan warganegara (Ijazah pertama, pasca siswazah dan penuntut program pertukaran universiti dari luar negara) menerima bantuan pek bekalan makanan kering.

“Bagi melancarkan komunikasi dalaman antara warga kampus terutamanya penuntut dan orang awam, talian hotline diuruskan oleh Pejabat Komunikasi Korporat (CCO) beroperasi secara minima bagi menjawab pertanyaan berkaitan pengurusan PKP di UM dengan pegawai HEP ditugaskan secara bergilir bagi menyelaraskan urusan berkaitan penuntut di dalam kampus,” katanya.

Manakala,sepanjangPKP, Klinik Pelajar UM akan beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 5 petang kecuali Sabtu dan Ahad.

Talian Hotline Klinik juga disediakan dan boleh dihubungi setiap hari dari 8 pagi hingga 10 malam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 7:45 PM