ORANG ramai di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
ORANG ramai di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Bera: Kanak-kanak lelaki dilaporkan lemas bersama rakannya ketika mandi di Sungai Triang berdekatan jeti Kerayong, di sini, semalam, ditemukan awal pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata, mangsa, Muhammad Danial Irsyad Norazlan, 11, ditemukan pada jarak 400 meter dari lokasi kanak-kanak dilaporkan hilang.

"Mangsa ditemukan di lokasi berkenaan oleh orang awam pada jam 1.30 pagi tadi.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mayat rakannya, Muhammad Nik Iqmal Shah Ismail, 15, ditemukan pada jarak 100 meter dari lokasi kali terakhir dia dilihat.

Zulfadli berkata, Muhammad Nik Iqmal ditemukan terapung di lokasi 100 meter dia kali terakhir dia dilihat dan 400 meter dari lokasi remaja lelaki berkenaan terjatuh jam 10.30 malam tadi.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dan rakannya berusia 11 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika sedang mandi di Sungai Triang berdekatan jeti Kerayong, di sini, kelmarin.

Kedua-duanya mangsa adalah antara lapan kanak-kanak lelaki yang pergi berenang di sungai itu, jam 3.30 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bera Deputi Superintendan N Kumaran dipetik berkata, siasatan mendapati kumpulan pelajar lelaki sekolah itu pergi ke sungai yang terletak di belakang pasar basah Kerayong.

"Ada yang berada di tebing sungai yang lain termasuk dua mangsa berenang ke tengah sungai. Mereka berpegang pada tiub tayar lori untuk terus terapung.

"Kedua-dua kanak-kanak lelaki itu dipercayai hilang cengkaman pada tiub itu sebelum dihanyutkan arus sungai.

"Rakan mereka menjerit meminta tolong dan memaklumkan kepada beberapa orang yang lalu-lalang," katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 8:31 AM