Bajet 2023 yang dibentangkan semula pada 24 Februari ini.
Bajet 2023 yang dibentangkan semula pada 24 Februari ini.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Bajet 2023 yang dibentangkan semula pada 24 Februari ini dinanti-nantikan rakyat yang meletakkan harapan tinggi terhadap kerajaan supaya dapat mengawal kenaikan barangan secara efektif sekali hus menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tinjauan orang ramai mendapati rata-rata menaruh harapan bukan saja supaya harga barangan dapat dikawal, malah berharap ada berita gembira termasuk kenaikan gaji.

Jurutera, Ahmad Anas, 38, berharap Bajet 2023 dapat memberi solusi terbaik dalam menurun dan mengekalkan harga barang.

Menurutnya, paling penting kerajaan dapat meringankan beban rakyat bukan sahaja golongan B40, malah pertengahan M40.

"Rakyat Malaysia dalam golongan pertengahan dan ke bawah mengharapkan sesuatu yang lebih baik, kami tidak mahu belanjawan retorik.

"Selain itu, dengan kenaikan kos yang semakin tinggi, gaji yang diterima banyak dibelanjakan untuk menampung keperluan keluarga, diharap tangga gaji di negara ini dapat diperhalusi semula dan ada kenaikan gaji yang setara," katanya kepada Harian Metro.

Bagi pekerja utiliti, Ikhwan Rosli, 37, dia mengharapkan dalam Bajet 2023 dapat mengurangi beban rakyat serta menurunkan kadar dasar semalaman (OPR).

Katanya, kerajaan juga perlu memberi keutamaan kepada masalah rakyat.

"Kalau boleh harga barangan dapat dikawal dan tidak mendadak naik dan semoga gaji pekerja juga lebih tinggi agar bersesuaian serta dapat menampung kos sara hidup sekarang.

"Kerajaan juga perlu memonopoli semua barang keperluan asas bagi menstabilkan harga barang di pasaran," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Shaidatul Akma Ramlan, 38 turut berharap Bajet 2023 dapat memperkenalkan lebih banyak insentif dan bantuan untuk mereka yang bekerja sendiri.

"Walaupun sebagai suri rumah, saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan secara dalam talian. Jadi saya berharap kerajaan dapat mempermudahkan pinjaman bank untuk pembelian rumah bagi mereka yang bekerja sendiri.

"Malah, bank juga diharap mempermudahkan permohonan dan mereka boleh melihat rekod bulanan pembayaran sewa rumah.

"Saya berharap sangat kerajaan mendengar keluhan rakyat kerana sebenarnya masih ramai lagi terkesan akibat Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 2:28 PM