BAJET 2017 diharap terus beri berita gembira buat generasi baru.
BAJET 2017 diharap terus beri berita gembira buat generasi baru.
Redzuan Muharam


Bajet 2017 akan dibentangkan hari ini dan seluruh warga Malaysia tentu mengharapkan khabar gembira daripada pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Golongan muda juga tidak terkecuali dan mereka pastinya mahu kerajaan membela nasib mereka menerusi bajet kali ini berikutan keadaan ekonomi semasa yang tidak begitu memuaskan.

Bajet tahun lalu bersifat mesra orang muda kerana menyentuh pelbagai elemen yang memberi manfaat seperti pengecualian deposit rumah pertama, pengecualian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kad prabayar, penambahan dana pembangunan belia dan RM700 juta untuk pembangunan sukan.

Dana RM930 juta turut disediakan untuk program

dan aktiviti persatuan belia, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) bertujuan merancakkan pelbagai

program di peringkat

akar umbi.

Itu belum termasuk pemberian manfaat untuk pendidikan, sukan dan lain-lain yang memenuhi kehendak pelbagai lapisan masyarakat.

Persoalannya, apakah harapan generasi muda untuk Bajet 2017 dan adakah suara mereka didengari?

Gen Y menemu bual tiga individu baru-baru ini dan ikuti komen serta harapan mereka berhubung Bajet 2017.

Fazli Hanafi, 27, Pelukis pelan

“Bajet kali ini perlu seimbang dan merangkumi semua aspek untuk kemajuan rakyat tidak kira di bandar mahupun luar bandar.

“Saya juga berharap kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji untuk sektor swasta dan tidak menaikkan kadar GST.

“Kenaikan itu hanya akan membebankan lagi rakyat yang terkesan akibat kejatuhan nilai ringgit,” katanya.

Jamaluddin Iskandar, 28, Penolong pengurus ladang

“Penting untuk kerajaan memperbanyakkan peluang pekerjaan, mengawal kos sara hidup daripada terus meningkat dan mengkaji semula harga rumah.

“Harga yang terlalu tinggi menyebabkan ramai tidak mampu membeli rumah pertama terutama generasi muda,” katanya.

Noor Rabiah Razali, 27, Pelajar pasca siswazah

“Semoga Bajet 2017 kali ini lebih telus dan mengutamakan rakyat dengan mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup.

“Diharap kerajaan dapat cari inisiatif untuk mengelakkan permasalahan ini berlanjutan, contohnya dengan mengawal harga barang atau membaik pulih ekonomi negara.

“Isu pemilikan rumah juga perlu diberi perhatian yang lebih dalam bajet kali ini, jadi mungkin kerajaan boleh melebihkan subsidi untuk mereka yang ingin memiliki rumah sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 1:03 PM