TAN Sri Dato' Muhyiddin Yasin.
TAN Sri Dato' Muhyiddin Yasin.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Bajet 2022 yang dibentangkan semalam, jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesinambungan konsep Prihatin Rakyat dalam menyalurkan bantuan terus kepada golongan yang terkesan, baik sebagai individu mahupun perniagaan dalam semangat kebersamaan 'Keluarga Malaysia'.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau percaya bajet ini akan memastikan segala bentuk bantuan serta sokongan yang diumumkan akan sampai kepada sasaran, lebih-lebih lagi kepada semua pihak dan sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Kata beliau, bantuan yang diberikan itu amat penting terutamanya dalam memastikan kejayaan tahun 2022 sebagai tahun pemulihan untuk Malaysia.

"Dengan berpaksikan kepada tiga strategi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan, saya yakin Bajet 2022 akan terus memperkasa usaha pemulihan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan.

"Bajet ini akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang dan dirangka berdasarkan keutamaan untuk memulihkan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap sistem kesihatan awam dan struktur ekonomi.

"Ini adalah cerminan tekad kerajaan untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama," katanya pada kenyataan hari ini.

Muhyiddin turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Tengku Zafrul atas pembentangan Bajet 2022 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' berjumlah RM332.1 bilion iaitu bajet yang terbesar dalam sejarah belanjawan negara.

Dalam pada itu, mengulas mengenai peruntukan kedua terbesar yang diterima oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Muhyiddin berkata, ia tepat bagi memacu pemulihan negara ke fasa endemik.

"Justeru, diharapkan penekanan pada sektor kesihatan bukan sahaja mampu menampung fasa endemik malah memperkukuh sistem kesihatan negara untuk menghadapi cabaran pandemik lain pada masa depan termasuk daripada segi kapasiti hospital, fasiliti dan kepakaran.

"Peruntukan paling besar sebanyak RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan pula menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap aspek pembangunan modal insan termasuk penyediaan fasiliti dan akses pembelajaran yang masih menjadi masalah utama bagi murid dan pelajar luar bandar.

"Saya berharap dana yang diperuntukkan, misalnya untuk membaiki sekolah daif dapat disalurkan ke sekolah yang benar-benar memerlukan, yang belum pernah mendapat bantuan kerajaan," katanya.

Beliau turut menyeru semua rakyat Malaysia supaya dapat bersatu padu dalam memastikan usaha pemulihan negara berjalan dengan lancar dan semua dapat kembali merancakkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 2:29 PM