GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang melanda negara memberi cabaran besar kepada kemampuan fiskal kerajaan, sekali gus mendorong kerajaan secara proaktif meneruskan dasar yang fleksibel dan pragmatik demi melindungi rakyat dan perniagaan serta menyokong ekonomi dalam menghadapi situasi luar biasa ini.

Kerajaan terus menyediakan sokongan fiskal yang besar pada 2021 melalui pakej bantuan dan rangsangan ekonomi tambahan bagi mengurangkan impak buruk pandemik dan langkah kawalan, demikian menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Jumaat.

Kerajaan mengumumkan lapan pakej bantuan dan rangsangan bernilai RM530 bilion dengan sokongan fiskal sebanyak RM80 bilion disediakan di bawah Kumpulan Wang Covid-19 sejak penularan pandemik tahun lepas, jelasnya.

Laporan itu menambah, pendirian fiskal kerajaan Persekutuan ialah terus mengutamakan untuk memacu negara keluar daripada krisis pandemik, dengan sokongan fiskal yang ketara dijangka mampu membendungnya, menyokong aktiviti ekonomi domestik, menjana pelaburan, merangsangkan perbelanjaan pengguna dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Pelaksanaan langkah pemulihan yang lebih bersasar telah memberi kesan positif kepada ekonomi dan dibuktikan melalui pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada 7.1 peratus pada separuh pertama tahun ini, menurutnya.

"Susulan proses peralihan politik yang lancar serta kesinambungan dasar yang jelas, kerajaan yakin ekonomi akan pulih dan mencatatkan pertumbuhan positif pada 2021," tambahnya.

Kerajaan memanfaatkan pelbagai instrumen fiskal untuk mengimbangi keperluan perbelanjaan dan kemampanan fiskal bagi memacu pemulihan ekonomi dan kesihatan, termasuk penggunaan sebahagian dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAP) bagi memastikan pembiayaan mencukupi dan mempercepat pelaksanaan program vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Kadar vaksinasi di Malaysia adalah antara yang terpantas di dunia, sekali gus membolehkan kerajaan membuka semula lebih banyak sektor ekonomi untuk menyokong pertumbuhan," jelasnya.

Selain itu, agenda sosioekonomi dan pembangunan kekal menjadi keutamaan kerajaan dalam jangka sederhana, seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Justeru, sumber fiskal juga akan disalurkan bagi melaksanakan program dan projek di bawah RMK12, yang akan bertindak sebagai pemangkin dalam mencorak hala tuju ke arah negara yang makmur, inklusif dan mampan, tambahnya.

Kerajaan juga telah mengemukakan usul di Parlimen untuk meningkatkan had statutori hutang, dengan mengambil kira keperluan pembiayaan langkah pemulihan dan pelaksanaan RMK12.

"Kerajaan menerusi Belanjawan 2021 telah mengunjurkan defisit fiskal berbanding KDNK berkurangan kepada 5.4 peratus berdasarkan andaian pemulihan ekonomi yang stabil pada separuh kedua 2020 dan berlanjutan hingga 2021, bagaimanapun, kemunculan varian baharu Covid-19 yang lebih berbahaya dan mudah merebak memberi cabaran besar kepada kerajaan dalam melindungi rakyat, perniagaan dan ekonomi," jelasnya.

Menurut laporan itu, hasil dianggarkan menyusut 6.7 peratus daripada anggaran belanjawan kepada RM221 bilion atau 14.6 peratus kepada KDNK pada 2021.

Kerajaan juga telah menyusun semula keutamaan perbelanjaan ke arah menyokong sistem penjagaan kesihatan, meringankan beban rakyat dan memastikan kelangsungan perniagaan dengan mengambil kira keperluan fiskal yang semakin meningkat.

"Justeru, perbelanjaan dijangka kekal signifikan sebanyak RM320.6 bilion, walaupun lebih rendah secara marginal sebanyak 0.6 peratus berbanding anggaran belanjawan sebanyak RM322.5 bilion," menurutnya.

Perbelanjaan mengurus pula dijangka berkurangan sebanyak 7.1 peratus atau RM16.9 bilion, kepada RM219.6 bilion, terutama daripada bekalan dan perkhidmatan serta pemberian kepada badan berkanun yang mempunyai rizab kewangan tinggi.

Begitu juga, perbelanjaan pembangunan yang dijangka turun 10.1 peratus kepada RM62 bilion daripada anggaran belanjawan sebanyak RM69 bilion.

Laporan itu menambah, beberapa projek pembangunan telah dikaji dan dijadualkan semula berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah menjejaskan kemajuan pelaksanaan projek, namun peruntukan Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19) dianggarkan meningkat sebanyak 129.4 peratus atau RM22 bilion kepada RM39 bilion bagi membiayai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi tambahan.

"Pandemik yang berpanjangan melangkaui jangkaan telah memaksa kerajaan meningkatkan kapasiti perbelanjaannya dalam menyediakan sokongan fiskal tambahan. Justeru, defisit fiskal kerajaan Persekutuan berbanding KDNK diunjur meningkat kepada 6.5 peratus berikutan suntikan fiskal tambahan dan unjuran KDNK yang lebih rendah," jelasnya.

Pada 2022, prospek ekonomi dijangka bertambah baik dan kembali kepada trajektori pertumbuhan disokong oleh liputan vaksinasi yang lebih luas serta permintaan domestik dan luar yang stabil.

Kutipan hasil kerajaan Persekutuan pada 2022 dianggarkan lebih tinggi pada RM234 bilion atau 14.3 peratus kepada KDNK didorong oleh jangkaan peningkatan kutipan hasil cukai kepada RM171.4 bilion dan hasil bukan cukai berjumlah RM62.6 bilion.

Selain itu, jumlah perbelanjaan dianggarkan meningkat kepada RM332.1 bilion atau 20.3 peratus daripada KDNK, disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan mengurusan kepada RM233.5 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM75.6 bilion manakala baki RM23 bilion merupakan peruntukan KWC-19.

Peruntukan perbelanjaan pembangunan akan disalurkan kepada pelaksanaan program dan projek di bawah RMK12, termasuk pembinaan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, Sistem Transit Rapid dan Lebuhraya Pan Borneo.

"Defisit fiskal berbanding KDNK dijangka berkurangan kepada enam peratus selepas mengambil kira pertumbuhan hasil dan keperluan perbelanjaan," demikian menurut laporan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan terus komited melaksanakan dasar yang lebih terperinci dan bersasar untuk memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya tahan negara dan memangkin pembaharuan.

"Bagi tujuan ini, Bajet 2022 telah dirangka sebagai usaha untuk merancakkan semula ekonomi dalam jangka terdekat serta strategi pembangunan dan pembaharuan jangka sederhana yang akan menghidupkan aspirasi yang diilhamkan dalam RMK12," katanya menerusi kata pengantar dalam laporan tersebut.

Beliau berkata sebagaimana pentingnya dasar jangka pendek dalam memacu pemulihan sosioekonomi pada 2022, pengukuhan asas bagi pembaharuan institusi dan fiskal jangka panjang turut kritikal bagi membina semula daya tahan negara pascapandemik, supaya negara bersedia menghadapi krisis seumpama ini pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 4:26 PM