BAJET 2022 turut  menekankan usaha  membina semula daya ketahanan sistem kesihatan negara untuk menghadapi krisis kesihatan. FOTO BERNAMA
BAJET 2022 turut menekankan usaha membina semula daya ketahanan sistem kesihatan negara untuk menghadapi krisis kesihatan. FOTO BERNAMA
Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Bajet 2022 yang akan dibentangkan Oktober nanti memberi tumpuan kepada usaha pemulihan negara daripada krisis pandemik dan ekonomi khususnya dari aspek berkaitan mata pencarian rakyat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi akan diteruskan selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Ia akan menentukan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian dan kehidupan rakyat dan perniagaan.

"Selain itu, ia akan memangkin pembaharuan pasca pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan.

"Dalam hubungan ini, Bajet 2022 dirangka dengan matlamat untuk terus melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian rakyat, membina semula daya ketahanan ekonomi serta memangkin pembaharuan sosioekonomi," katanya dalam Kenyataan Pra-Bajet 2022, semalam.

Pada Jun lalu, PPN dilancarkan sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa bagi mengatasi kemelut pandemik Covid-19.

Seiring dengan itu, Bajet 2022 akan meneruskan kesinambungan pelan berkenaan bagi memacu pemulihan negara.

"Bagi memastikan negara berjaya pulih dan keluar daripada kemelut ini, Bajet 2022 akan terus melindungi dan memulih kehidupan dan mata pencarian pascapandemik.

"Kerajaan juga akan memacu pemulihan bagi sektor ekonomi yang paling teruk terjejas seperti sektor pelancongan dan peruncitan.

"Ia juga akan menumpukan usaha untuk membantu golongan rentan, wanita, Orang Asli dan kurang upaya supaya tidak terpinggir dalam agenda pemulihan dan pembangunan negara.

"Di samping itu, usaha berterusan bagi melindungi dan mencipta peluang pekerjaan baharu akan terus dijadikan keutamaan," katanya.

Tengku Zafrul berkata, Bajet 2022 turut akan menekankan usaha untuk membina semula daya ketahanan sistem kesihatan negara untuk menghadapi krisis kesihatan melalui peningkatan kapasiti dan kualiti, memperkasa modal insan dalam sektor berkenaan serta menjalinkan kerjasama lebih erat antara penyedia perkhidmatan kesihatan awam dan swasta.

"Di samping tumpuan kepada aspek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur fizikal, Bajet 2022 akan turut memberikan penekanan ke arah mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi yang menjadi nadi utama bagi kelangsungan sistem ekonomi dan sosial pada masa hadapan.

"Dari aspek pendidikan, infrastruktur dan aplikasi digital perlu dipertingkatkan bagi membolehkan sistem pendidikan membuat penyesuaian dengan keperluan belajar secara dalam talian di rumah.

"Selain itu, bagi sektor perniagaan, aplikasi dan infrastruktur digital turut memainkan peranan penting sepanjang tempoh PKP bagi memastikan sektor ini kekal beroperasi dan produktif," katanya.

Menurutnya, krisis ini juga turut mendedahkan keperluan untuk negara beralih kepada sektor industri yang mempunyai produktiviti tinggi berasaskan teknologi automasi dan kemahiran tinggi.

"Oleh yang demikian, penekanan juga akan diberikan untuk mempercepat peralihan kepada teknologi IR 4.0 dan transformasi digital serta meningkatkan keupayaan modal insan negara melalui program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula berasaskan permintaan semasa pasaran pekerjaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 7:00 AM