Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika sesi Pembentangan Bajet 2022 di Parlimen. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika sesi Pembentangan Bajet 2022 di Parlimen. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
Noor Mohamad Shakil Hameed

Menyedari hakikat kehidupan majoriti rakyat semakin terdesak dan terhimpit dengan krisis ekonomi yang dicetuskan oleh wabak Covid-19, kerajaan menampilkan Bajet 2022 yang inklusif dan komprehensif demi membela nasib dan kebajikan segenap lapisan rakyat. Bajet dengan tema Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM332.1 bilion, iaitu nilai tertinggi berbanding bajet sebelum ini.

Jelas sekali bajet ini terus mengangkat ciri-ciri utama Keluarga Malaysia, iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran merentasi sempadan agama, bangsa serta kaum. Secara umumnya bajet yang memberi tumpuan kepada 3M, iaitu Memulih Kehidupan, Membina Semula Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan ini dilihat bakal menjadi nadi penting pemulihan sektor ekonomi negara dan kehidupan sosial rakyat pada tahun 2022. Apa yang dibentangkan juga membuktikan kerajaan mendengar dan mengambilkira pandangan, cadangan dan input yang dikemukakan oleh segenap lapisan rakyat dalam kerangka penyediaan bajet.

Bajet kali ini juga boleh disifatkan sebagai Ibu Segala Bajet kerana tahun 2022 bakal menjadi tempoh penting dalam kita mengharungi fasa endemik. Atas prinsip itu, ia banyak memberi fokus kepada perkara-perkara yang menjadi keluh kesah dan dekat dengan hati dan kehidupan seharian rakyat. Antaranya, membabitkan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan juga kesihatan rakyat di samping sokongan kepada sektor perniagaan serta pelbagai tambahan peruntukan untuk memakmurkan kehidupan rakyat secara keseluruhannya.

Menyedari hakikat rakyat berhadapan masalah ketiadaan wang tunai untuk berbelanja dan meneruskan kehidupan, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan insentif berbentuk tunai. Antaranya, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan bantuan sebanyak RM2,000 kepada isi rumah yang mempunyai tiga anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan, bantuan tambahan RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000, bantuan tambahan RM300 kepada isi rumah warga emas, bantuan awal persekolahan kanak-kanak sebanyak RM150 serta pemberian khas sekali bayar RM500 kepada 70,000 imam, bilal, siak, noja, marbut, guru takmir dan guru Kafa.

Malah, penjawat awam yang menjadi tonggak pentadbiran kerajaan juga tidak dilupakan apabila disajikan bayaran khas sebanyak RM700 dan pesara kerajaan juga turut menikmati bayaran RM350. Justeru, kita berharap anggota masyarakat akan bijak menggunakan semua insentif kewangan berbentuk tunai ini agar dapat meringankan kos sara hidup mereka.

Sektor kesihatan yang menjadi nadi utama ketika negara berhadapan dengan pandemik juga terus menikmati durian runtuh apabila diperuntukkan RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi belanja mengurus dan pembangunan dalam negara beralih ke fasa endemik Covid-19. Malah kerajaan juga menyediakan tambahan RM4 bilion untuk agenda tangani wabak merangkumi RM2 bilion bagi membiayai program vaksinasi. Ringkasnya, peruntukan bagi KKM kali ini adalah yang kedua terbesar selepas sektor pendidikan dan diharap dapat membantu negara keluar daripada wabak ini segera.

Sektor pendidikan yang terjejas teruk ketika pandemik turut menerima pelbagai buah tangan, antaranya RM1 bilion untuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah, peruntukan RM50 juta untuk membiayai pembelian peralatan mengajar dan tambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas di samping buat pertama kalinya bajet ini juga turut menyediakan insentif khas alat bantuan mengajar secara sekali bayar sebanyak RM100 kepada lebih 400,000 guru sekolah. Semoga insentif seperti ini dapat menyuntik semangat pihak sekolah dan guru untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Rakyat juga disediakan pelbagai inisiatif untuk meneroka peluang pekerjaan, antaranya RM4.8 juta diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) yang bakal menjamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan serta 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan swasta ditawarkan menerusi inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) dan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 sebanyak RM900 selama enam bulan.

Di samping itu, bagi memastikan majikan mengekalkan pekerja serta menawarkan peluang pekerjaan, kerajaan memberi insentif 20 hingga 30 peratus daripada gaji bulanan kepada majikan yang ambil Keluarga Malaysia yang tidak aktif bekerja serta pemberian insentif 30 hingga 40 peratus daripada gaji bulanan RM1,200 ke atas kepada majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU, Orang Asli dan banduan.

Rakyat juga disediakan peluang untuk mengasah bakat dan kemahiran bagi membantu memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik. Untuk itu, RM6.6 bilion diperuntukkan bagi memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, di samping RM1.1 bilion diperuntukkan untuk pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan sasaran 220,000 pelatih. Inisiatif seumpama ini dilihat mampu mengurangkan kadar pengangguran melalui pengekalan kerja serta penjanaan peluang pekerjaan baharu.

Secara umumnya Bajet 2022 mempunyai faktor 'Wow' seperti dijanjikan kerana memberi manfaat kepada semua pihak, sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang menjamin tiada seorang pun tercicir daripada agenda pemulihan negara selepas mengalami kesukaran hidup akibat pandemik Covid-19.

Justeru, diharap semua kementerian dan agensi yang telah disalurkan peruntukan dan diamanahkan tanggungjawab akan segera bertindak dan melaksanakan segala inisiatif yang telah dibentangkan itu secara efektif supaya golongan sasar dapat memperoleh manfaat yang sewajarnya.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 6:00 AM