ZAINUREN (dua dari kiri)  beramah mesra dengan pelajar kolej vokasional dan turut bersama  Roszida  (kanan) dan  Che Noorliati  (kiri)  di Kementerian Pendidikan Malaysia.
ZAINUREN (dua dari kiri) beramah mesra dengan pelajar kolej vokasional dan turut bersama Roszida (kanan) dan Che Noorliati (kiri) di Kementerian Pendidikan Malaysia.
Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Langkah Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) melaksanakan Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) sejak 2012 turut memberi impak dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir yang diperlukan industri di Malaysia.

Ia terbukti apabila kira-kira 30 peratus daripada 2,608 pelajar dari 15 Kolej Vokasional Rintis sudah ditawarkan pekerjaan dalam industri walaupun belum menerima Diploma Vokasional Malaysia (DVM) yang dijangka diterima pada majlis konvokesyen Ogos ini.

Malah, pelaksanaan ‘on the job training’ (OJT) iaitu satu daripada syarat wajib bagi pelajar diploma berkenaan turut memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan lagi kemahiran, sekali gus merasai sendiri pengalaman berada di alam pekerjaan.

Pengarah Bahagian Teknik dan Vokasional, Kementerian Pendidikan Zainuren Mohd Nor berkata, tawaran pekerjaan kepada pelajar terbabit adalah selepas mereka menjalankan OJT iaitu sebelum mereka menerima diploma masing-masing.

“Semasa empat bulan terakhir, pelajar wajib menjalani OJT dan dari situ, pihak industri akan melakukan pemantauan bersama pensyarah masing-masing.

“Menerusi OJT ini, penilaian dibuat bagi melihat kompetensi pelajar ini memenuhi kehendak pihak industri atau sebaliknya dan bagi mereka yang berjaya, akan ditawarkan pekerjaan.

“Bagaimanapun, pelajar yang belum mencukupi kompetensi mereka akan terus membuat latihan di industri itu walaupun sudah tamat OJT,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberikan contoh, seramai 45 daripada 64 pelajar Kolej Vokasional Sungai Petani 1 (KVSP1) di bawah program Diploma Teknologi Kimpalan turut ditawarkan pekerjaan oleh industri.

“Ini menunjukkan produk daripada Kolej Vokasional mampu melahirkan tenaga kerja mahir atau separuh mahir bagi keperluan industri di luar sana,”katanya.

Katanya, berdasarkan matlamat yang hendak dicapai, pihaknya menyasarkan kira-kira 20 peratus graduan melanjutkan pengajian dan 80 peratus memasuki alam pekerjaan dengan 10 peratus daripadanya menceburi bidang keusahawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Latihan Pendidikan Vokasional (VETA) Roszida Othman berkata, sebagai Institut Kemahiran Swasta di bawah sistem pentauliahan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia, akademi itu bertanggungjawab menjalankan latihan kemahiran berserta pensijilan profesional dalam bidang berkaitan.

Menurutnya, pelbagai latihan kemahiran disediakan VETA membabitkan kimpalan, automotif, pemesinan dan keselamatan, malah bidang berkenaan mendapat permintaan tinggi di industri.

“Kerjasama VETA dan BPTV menyaksikan akademi ini berperanan sebagai rakan industri di mana pelajar DVM Kolej Vokasional dalam bidang kimpalan menjalani program peningkatan kemahiran persijilan profesional Lloyd’s Register yang memenuhi spesifikasi industri minyak dan gas.

“Lloyd’s Register adalah badan profesional menentukan tahap kompetensi seseorang jurukimpal mengikut spesifikasi kelayakan.

“Dengan menyediakan pelajar dengan sistem pensijilan Lloyd’s Register, nilai kebolehpasaran mereka akan menjadi lebih tinggi dan memudahkan untuk menembusi industri profesionalisme yang diperlukan,”katanya.

Sementara itu, Pengarah Kolej Vokasional Sungai Petani 1 Che Noorliati Said berkata, Kolej Vokasional Sungai Petani 1 satu daripada 15 Kolej Vokasional Rintis dan pada awalnya, dua program ditawarkan kepada pelajar iaitu Teknologi Kimpalan dan Pemesinan Industri.

Katanya, pelajar terbabit akan dilatih selama empat tahun dan empat bulan dengan mengikuti kurikulum standard Kolej Vokasional.

“Bagi program kimpalan, dalam tempoh dua tahun mereka diberi pendedahan mengenai pengenalan teknologi kimpalan serta amalan tatacara keselamatan, persekitaran dan kesihatan.

“Seterusnya, mereka akan dilatih kemahiran masing-masing iaitu teknik memotong dan mencanai serta pendedahan pelbagai lagi perkara berkaitan bidang kimpalan ini,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 12:07 PM