PASUKAN Bomba melakukan pencarian mangsa yang disyaki terjatuh ke dalam parit di permukaan air di Alor Rela, malam tadi. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
PASUKAN Bomba melakukan pencarian mangsa yang disyaki terjatuh ke dalam parit di permukaan air di Alor Rela, malam tadi. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Suami memang suka tangkap dan masak ikan darat namun tak sangka perkara tidak dijangka akan berlaku padanya hari ini (semalam).

"Saya sudah cakap jangan pergi tangkap ikan sebab air banyak disebabkan hujan sejak beberapa hari lalu, tapi dia kata sudah berjanji dengan kawan-kawan," kata Halida Halim, 47.

Halida adalah isteri Mohd Nazri Musa, 51, yang masih hilang selepas disyaki terjatuh ke dalam parit berair berhampiran kawasan tali air di Alor Rela, Langgar, di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa dikatakan keluar dari rumah mereka di Pokok Asam, Langgar pada jam 10 pagi bertemu dengan beberapa rakannya untuk menangkap ikan di tempat kejadian.

"Dia kata nak buat tangkul ikan dengan kawan-kawan malah dia nampak sangat seronok hendak ke sini (lokasi kejadian).

"Rakan sudah mengajak suami balik namun dia minta pulang dahulu. Namun dua jam kemudian rakannya tidak nampak kelibatnya dan mensyaki dia jatuh parit sebab nampak telefon bimbit dan dompet disangkut pada motosikal miliknya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Halida berkata, dia cuba menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada suaminya namun tidak dibalas malah anaknya yang cuba menghubungi telefon bimbitnya juga tidak berjawab.

"Pada jam 4 petang semalam, ada seorang pemuda datang ke rumah bertanya sama ada suami sudah pulang ke rumah atau tidak menyebabkan saya terus tidak sedap hati.

"Namun kira-kira 20 minit kemudian, rakan saya menghantar mesej memberitahu orang ramai sedang mencari Mohd Nazri di kawasan parit berkenaan menyebabkan saya terus menghubungi telefon bimbit suami.

"Ada orang awam menjawab panggilan berkenaan dan memberitahu suami disyaki terjatuh di parit ini menyebabkan saya terus ke balai polis untuk membuat laporan kehilangannya," katanya.

Menurut Halida, dia dimaklumkan yang suaminya tidak banyak bercakap berbanding selalu.

Katanya, dia berharap suaminya ditemui walau dalam keadaan apa sekali pun dan berterima kasih kepada pihak bomba kerana tidak jemu melakukan pencarian mangsa sejak petang semalam.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pihaknya terus melakukan pencarian di permukaan air menggunakan sebuah bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar.

Beliau berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) juga berada di lokasi untuk melakukan penilaian di lokasi kejadian berikutan arus deras ketika ini akibat hujan lebat malam tadi.

"Operasi menyelamat diteruskan untuk mengesan mangsa dan saya percaya berkemungkinan besar mangsa masih berada di sekitar kawasan ini," katanya ketika ditemui di lokasi pencarian malam tadi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang lelaki disyaki terjatuh ke dalam sungai ketika menangkap ikan di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 8:46 AM