Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Panik apabila kereta dihampiri polis, seorang penjenayah bertindak memecut kenderaannya sebelum merempuh kenderaan lain, semalam.

Dalam kejadian 10.18 pagi itu, sepasukan anggota peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya ke sebuah premis mencuci kenderaan di Jalan Kolam Air Lama di sini, sejurus menerima maklumat terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri dalam kereta.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pemeriksaan mendapati kereta berkunci dan enjin kenderaan masih hidup lalu mengejutkan lelaki itu.

"Suspek tersedar tetapi enggan membuka pintu sebelum dia memecut laju. Anggota mengekori kereta suspek dan semasa di Jalan Ampang, suspek melanggar sebuah kenderaan lain.

"Suspek meneruskan perjalanan menghala Jalan Tun Razak dan Kampung Baru sebelum berhenti di sebuah premis cuci kenderaan di Jalan Raja Muda Abdul Aziz.

"Orang awam yang berada di lokasi bertindak menutup pagar premis berkenaan. Anggota kemudian memecahkan cermin kereta untuk menahan suspek sehingga jarinya cedera tetapi suspek merempuh pula pagar premis dan melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang melakukan serbuan bersabit kes curi motosikal berjaya menahan suspek di sebuah bengkel di Kampung Melayu Tambahan, di sini, 11.55 pagi.

TANGKAP layar video yang tular di media sosial. FOTO tular media sosial
TANGKAP layar video yang tular di media sosial. FOTO tular media sosial

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek berusia 39 tahun itu adalah individu sama yang melarikan diri dari pemeriksaan polis sebelum ini.

"Hasil semakan, suspek mempunyai 13 rekod jenayah lampau termasuk dadah. Suspek kini masih dalam tahanan polis IPD Dang Wangi," katanya.

Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan pihaknya mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 5:47 PM