DATUK Mohd Izhar Ahmad (tengah) ketika menyampaikan simbolik dana Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) kepada penerima. FOTO Essa Abu Yamin
DATUK Mohd Izhar Ahmad (tengah) ketika menyampaikan simbolik dana Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) kepada penerima. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin
am@hmetro.com.my


Batu Pahat: Kerajaan negeri akan berkolaborasi dengan pengusaha stesen minyak terutamanya yang berada di lebuh raya bagi membantu memperkenalkan dan memasarkan produk tempatan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, sebanyak 17 stesen minyak Petronas di Johor menyatakan persetujuan untuk bekerjasama perkara berkenaan bagi fasa pertama pelaksanaan.

"Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan semua pengusaha stesen minyak di negeri Johor untuk memasarkan produk-produk berkenaan.

"Pengguna lebuh raya akan melihat adanya produk-produk tempatan seperti makanan ringan, hasil kraftangan dan lain-lain sekali gus dapat menjana pendapatan usahawan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Program Walkabout Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor bersama Gerakan Koperasi Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang di sini, hari ini.

Menurut Mohd Izhar, usaha itu bermula sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu bagi membantu usahawan yang terjejas memasarkan produk mereka.

Katanya, Johor akan beralih ke fasa empat pelan pemuliharaan negara (PPN) dan usaha berkenaan sekali gus dapat meningkat pertumbuhan ekonomi dalam kalangan pengusaha tempatan bagi memasarkan produk mereka dengan lebih rancak.

Sementara itu, dalam perkembangan koperasi di Johor, beliau berkata, pihaknya berbangga kerana mempunyai 50 koperasi terbaik di kalangan koperasi yang ditubuhkan di negara ini.

"Dalam masa yang sama terdapat 23 koperasi di Johor terpilih menerima dana sebanyak RM15,000 sebagai subsidi jualan ke atas barang keperluan dan makanan, melalui Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) di bawah inisiatif Pemulih.

"Salah satu koperasi berkenaan adalah Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang yang menjalankan aktiviti pemborongan dan peruncitan serta menjual barangan keperluan masyarakat," katanya.

Katanya, pada kebiasaannya koperasi sekolah hanya menjual buku dan peralatan sekolah, tetapi berbeza dengan koperasi SMK Senggarang yang mengorak langkah sehingga mampu memperoleh pendapatan mencecah hampir RM1 juta setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 3:01 PM