GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kerajaan Kelantan tidak menolak kemungkinan negeri itu akan menjadi tumpuan pengunjung selepas beralih kepada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, ia susulan kerajaan sudah membenarkan aktiviti rentas negeri termasuk banyak sektor diberikan kelonggaran beroperasi.

Beliau berkata, peningkatan pengunjung ke negeri itu dapat dilihat melalui pintu masuk lapangan terbang negeri selain keadaan trafik semakin sesak berbanding sebelum ini berikutan kepulangan perantau serta kemasukan pelancong domestik.

"Bermula semalam lebih 20 penerbangan sehari mula masuk ke Kelantan berbanding sebelum ini iaitu hanya empat hingga lima sahaja.

"Justeru, kerajaan negeri menyeru semua pihak terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan walaupun sudah lengkap dua dos suntikan vaksin bagi membendung penularan pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Di Antara Kerajaan Negeri Kelantan Dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Malaysia Mengenai Usahasama Bagi Membangunkan Taman Perindustrian 'Sistem Binaan Berindustri' (IBS) Di Kelantan di Dewan Bunga Teratai Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Izani berkata, dalam peralihan dari Fasa Dua kepada Fasa Tiga PPN, lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan dan pada masa sama, penguatkuasaan daripada polis akan diteruskan bagi membendung wabak ini terutama ketika berada di khalayak ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 5:48 PM