Siti Rohana Idris


Tumpat: Sikap 'tak apa' sehingga gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di kalangan penduduk negeri ini boleh menyebabkan wabak Covid-19 kembali menular.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, situasi itu ditambah dengan penganjuran banyak majlis atau kenduri diadakan sebaik Kelantan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), awal bulan ini.

Menurutnya, dengan kemunculan varian baharu Covid-19 sudah pasti pematuhan terhadap SOP masih perlu diamalkan dan diberi lebih penekanan.

"(Varian) Omicron sudah ada tiga kluster di Kelantan dan berpunca dari balik umrah yang menyebabkan kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk mengekang penyebaran.

"Apa sahaja varian yang datang, kita masih tetap perlukan penjagaan walaupun untuk suntikan kedua sudah mencecah 90 peratus dan dos penggalak sudah diambil, namun kes tetap meningkat.

"Apabila memasuki fasa empat, tidak boleh buat budaya 'tak apa' kerana SOP sudah berbeza disebabkan orang ramai sudah boleh berjumpa mata secara terbuka," katanya.

DR Izani pada sidang media ketika Program Gotong-Royong Perdana. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DR Izani pada sidang media ketika Program Gotong-Royong Perdana. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian selepas program Gotong-Royong Perdana Pantai Geting bersama kira-kira 700 peserta, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan ( NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat dan Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah.

Tidak menafikan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah baru-baru ini yang menyatakan Kelantan mungkin akan kembali ke Fasa Tiga PPN jika pematuhan SOP diabaikan, Dr Izani berkata, ia bukan untuk menakutkan orang ramai tapi kemungkinan tetap ada.

Katanya, walaupun keputusan itu dibuat oleh kerajaan, tetapi pilihan terletak di tangan rakyat sama ada menjaga SOP atau mengabaikan.

"Bukan ingin menakut-nakutkan tapi kemungkinan boleh jadi. Jadi sebelum kerajaan tiada pilihan, biar rakyat buat pilihan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 1:48 PM