ISMAIL Sabri selepas meninjau fasiliti di Perumahan Awam Seri Perak, Sentul. FOTO Asyraf Hamzah
ISMAIL Sabri selepas meninjau fasiliti di Perumahan Awam Seri Perak, Sentul. FOTO Asyraf Hamzah
Saiful Haizan Hasam


Kuala Lumpur: Golongan antivaksin tidak akan terlepas daripada tindakan pihak berkuasa kerana terdapat pelbagai peruntukan undang-undang yang boleh digunakan terhadap mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun tindakan itu bukanlah disebabkan mereka antivaksin, sebaliknya kerana perbuatan menyebarkan fitnah dan berita palsu.

Beliau juga bersetuju dengan gesaan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin supaya pihak berkuasa bertindak segera terhadap kelompok berkenaan.

"Memang dalam negara kita ada banyak undang-undang yang boleh digunakan untuk ambil tindakan kepada pihak yang menyebarkan berita palsu.

"Jadi bukan kerana antivaksin tetapi kerana berita (palsu) yang mereka sebar kita boleh ambil tindakan.

"Khairy Jamaluddin sudah cakap semalam dan kita bersetuju dengan apa yang disebutkan beliau," katanya dalam sidang media selepas meninjau penyelenggaraan lif di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul, hari ini.

Semalam, Khairy Jamaluddin, dilaporkan memohon pihak berkuasa menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap kumpulan antivaksin.

Tegasnya, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah bertindak dengan membuat beberapa laporan polis terhadap beberapa kumpulan antivaksin.

Bagaimanapun, katanya, beberapa kumpulan antivaksin dilihat masih berdegil dan berterusan menyebarkan berita palsu berkaitan vaksin Covid-19 hingga mengancam kesihatan awam.

"KKM sudah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin. Kami harap tindakan susulan, siasatan, pendakwaan dan lain-lain dapat disegerakan.

"Kumpulan ini terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan," katanya menerusi Twitter.

Beliau membalas ciapan pakar perubatan keluarga KKM, Dr Sakinah Sulong, yang mempersoalkan sama ada kumpulan antivaksin di negara ini kebal daripada tindakan pihak berkuasa berikutan masih bebas menyebarkan dakwaan dan berita palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 1:21 PM