BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan belum membuat keputusan untuk mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata bagaimanapun individu yang belum mengambil suntikan vaksin Covid-19, digalakkan berbuat demikian bagi menikmati pelbagai keistimewaan termasuk melancarkan urusan untuk pulang ke kampung halaman.

"Malah untuk urusan beribadah seperti mengerjakan Umrah juga diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi, saya yakin syarat yang sama akan diberi untuk kebenaran mengerjakan Haji yang dijangka bermula tahun depan.

"Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan arahan kepada kakitangan kerajaan untuk mengambil vaksin kalau tidak akan dikenakan tindakan.

"Mindef (Kementerian Pertahanan)... telah mengeluarkan arahan iaitu siapa (anggota tentera) yang tidak mengambil vaksin dianggap melanggar arahan Mindef, jadi ini gambaran dia seperti wajiblah," katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan Malaysia akan mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Perumahan Awam Seri Perak di sini hari ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, tindakan tegas wajar dikenakan terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan berita palsu.

"Antivaksin ini mengeluarkan cerita-cerita yang tidak betul, fitnah, berita palsu dan sebagainya dan memang dalam negara kita ada banyak undang-undang yang boleh diambil tindakan untuk penyebaran berita palsu.

"(Tindakan) bukan kerana mereka antivaksin, tetapi kerana berita yang mereka sebarkan adalah berita palsu, jadi kita boleh ambil tindakan dan kita setuju dengan apa yang KJ (Khairy Jamaluddin) cakap semalam," katanya.

Semalam, Khairy yang juga Menteri Kesihatan berkata, kementeriannya membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan maklumat palsu sehingga mengancam kesihatan awam.

Khairy menerusi ciapan di Twitter rasmi beliau berharap, tindakan susulan termasuk siasatan dan pendakwaan dapat disegerakan.

"Kumpulan ini (antivaksin) terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan," kata Khairy.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 1:44 PM
PETUGAS kesihatan memberikan suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Latihan UEM Edgenta, Petaling Jaya, semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PETUGAS kesihatan memberikan suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Latihan UEM Edgenta, Petaling Jaya, semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali