GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) menyambut baik dan berterima kasih terhadap kerajaan yang akhirnya memberi kebenaran merentas negeri termasuk aktiviti pelancongan bermula esok.

Timbalan Presiden MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor pelancongan dan perhotelan bagaimananapun harus dikeluarkan dengan kadar segera bagi memastikan kelancaran serta pelaksanaan operasi kedua-duanya tanpa sebarang isu berbangkit.

"Kami menyeru kepada pengusaha perhotelan untuk sentiasa memastikan SOP diikuti dengan ketat bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Di samping itu, bagi seluruh Keluarga Malaysia, kami juga ingin menyeru untuk sentiasa mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan tanpa cuba melanggar peraturan dikeluarkan oleh agensi berkaitan yang akan menyebabkan kedua-dua pihak diambil tindakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, industri perhotelan masih berada didalam keadaan yang memerlukan bantuan bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan kebenaran merentas negeri hanya akan menyumbang sedikit peningkatan terhadap usaha pemulihan industri perhotelan.

"Kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) haruslah menangani ancaman yang ada bagi melihat pemulihan industri perhotelan dan pelancongan yang ketara," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi

mengumumkan kebenaran rentas negeri bagi individu lengkap vaksinasi bermula esok susulan kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90 peratus.

Bagaimanapun, kebenaran pergerakan rentas negeri tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 6:14 PM