176 hotel bajet di Melaka sedia menanti pelancong. FOTO NAZRI ABU BAKAR
176 hotel bajet di Melaka sedia menanti pelancong. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Sebanyak 176 hotel bajet Melaka sedia menanti pelancong yang dijangka meningkat apabila kebenaran merentas negeri membabitkan individu lengkap dua dos vaksinasi bermula hari ini.

Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Melaka, Sazali Sabri berkata, peningkatan itu dijangka dapat dilihat pada hujung minggu ini selain cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul dan perayaan Deepavali pada awal bulan depan.

Beliau berkata, walaupun terkesan teruk dengan 80 peratus hotel bajet ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk PKP 3.0, kini mereka sedia beroperasi semula.

"Kehilangan pendapatan selain terpaksa memberhentikan pekerja sepanjang PKP memperlihatkan pemain industri kental untuk bangun semula membina perniagaan.

"Walaupun pengusaha mengalami kerugian teruk, kebanyakan mereka yang menjalankan perniagaan berasaskan keluarga bijak mencari penyelesaian untuk kembali memberi perkhidmatan.

"Kami mengakui amat lega dan menyambut baik pengumuman kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri di seluruh negara bagi individu yang lengkap dos vaksinasi bersama anak jagaan mereka di bawah 12 tahun," katanya.

Beliau berkata, ia memberi peluang kepada pengusaha hotel tiga bintang di Melaka untuk kembali memiliki pelanggan selepas penguncupan akibat PKP begitu mengejutkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri, negara malah dunia.

Katanya, ketika kebenaran merentas daerah sebelum ini, kebanyakan rakyat Melaka agresif mengunjungi lokasi pelancongan, namun tidak bermalam di hotel berbanding kebenaran merentas negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 5:57 PM