FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) meminta semua pihak terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khususnya pada perayaan Tahun Baru Cina dan musim cuti minggu depan.

Timbalan Presidennya Dr Sri Ganesh Michiel berkata, pematuhan SOP itu penting bagi membantu memulihkan industri perhotelan yang teruk terjejas pasca pandemik Covid-19.

Katanya, kegagalan mana-mana pihak untuk mengikut SOP menyebabkan berisiko didenda oleh pihak berkuasa sehingga boleh menjejaskan operasi perniagaan serta ekonomi masing-masing.

"Kami menyeru pengusaha industri perhotelan dan pelancongan serta pelanggan hotel untuk tidak alpa dengan penularan wabak Covid-19 yang masih belum berakhir.

"Pihak kami ingin menasihatkan kepada semua ahli MyBHA dan mereka yang menggunakan perkhidmatan hotel untuk sama-sama mengikut peraturan ditetapkan kerajaan dalam usaha mencegah dan memutuskan rantaian penularan Covid-19," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, jika jangkitan virus itu tidak disekat, pelanggan kemungkinan berhadapan dengan keadaan persekitaran hotel yang tidak memuaskan, kekurangan pekerja serta peraturan ketat kesan daripada penularan wabak terbabit.

Oleh itu, katanya, MyBHA berharap supaya semua pihak sentiasa faham keadaan industri perhotelan dengan lebih rasional dan bersama membantu memulihkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 7:06 PM