Tujuh ekor lembu baka Brahman yang dirampas anggota PGA7 bernilai RM88,200 di Kampung Pohon Tanjung, di sini, semalam. FOTO IHSAN PGA7
Tujuh ekor lembu baka Brahman yang dirampas anggota PGA7 bernilai RM88,200 di Kampung Pohon Tanjung, di sini, semalam. FOTO IHSAN PGA7
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Tindakan membawa tujuh ekor lembu baka Brahman seludup bernilai RM88,200 menggunakan lori gagal apabila kegiatan berkenaan dikesan dalam operasi di Kampung Pohon Tanjung, di sini, semalam.

Dalam kejadian 8 malam, anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) terserempak sebuah lori dari arah Kampung Pohon Tanjung menuju ke Repek dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota cuba menahan lori itu, namun pemandu bertindak memecut laju menyebabkan pihaknya terus mengekorinya.

Menurutnya, lori berkenaan ditemui di Taman Purnama Lubok Jong,di sini, 20 minit kemudian dan pemandunya bertindak melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

"Anggota menunggu selama 30 minit tetapi tiada pihak yang datang menuntut sebelum menemukan tujuh ekor lembu di bahagian belakang lori ketika melakukan pemeriksaan.

"Kesemua ternakan dan lori dirampas sebelum lembu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan untuk tindakan.

"Pihak kami percaya kesemua lembu berkenaan diseludup dari negara jiran melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk pasaran seluruh negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Sekyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

Dalam perkembangan lain, Azhari berkata, pihaknya turut merampas 200 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM6,000 di Kampung Bendang Nyior, Tanah Merah pada 11 malam tadi.

"Anggota cuba menahan sebuah kereta Proton Wira yang mencurigakan, namun pemandu bertindak memecut laju sebelum kenderaan berkenaan ditemui diparkir tanpa pemandu di tepi jalan.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta, menemui daun ketum dalam plastik hitam. Kes disiasat di bawah Sekyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 3:31 PM