ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah unit kediaman di tingkat 29 KL Gateway Residensi, Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. Foto Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah unit kediaman di tingkat 29 KL Gateway Residensi, Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. Foto Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki dalam kejadian kebakaran sebuah unit kediaman di tingkat 29 KL Gateway Residensi, Jalan Kerinchi, di sini, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.01 pagi.

"Seramai 38 anggota bersama tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, BBP Seputeh dan BBP Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.

"Menurut Komander Operasi, Wan Mohd Shahir Azizi Wan Said, kebakaran itu membabitkan sebuah rumah yang terbakar hampir 80 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, anggota bertugas melakukan pencarian secara permukaan untuk menyelamatkan mangsa dan teknik 'attacking' dan 'defensive' untuk memadamkan kebakaran.

"Terdapat seorang mangsa iaitu lelaki berusia lingkungan 30-an ditemui di dalam rumah berkenaan.

"Mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 11:13 AM