TAMBAK Johor.
TAMBAK Johor.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Johor berharap pembukaan sempadan Malaysia-Singapura secara menyeluruh disegerakan bagi memastikan kelangsungan ekonomi negeri dan negara tidak terbantut.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata ia berikutan ekonomi Johor saling bergantungan dengan ekonomi republik berkenaan.

Katanya, sebanyak 35,000 rakyat negeri ini hilang pekerjaan di Johor sejak wabak Covid-19 melanda berikutan sempadan yang ditutup sejak 18 Mac lalu.

"Penutupan sempadan yang masih belum dibuka secara menyeluruh menyebabkan kira-kira 250,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tidak dapat berulang-alik berkerja di sana.

"Kerajan negeri sedang berbincang dengan kerajaan Persekutuan bagaimana kita dapat segerakan pembukaan semula sempadan.

"Saya sendiri maklumkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin betapa pentingnya kita buka semula sempadan Malaysia-Singapura.

"Perdana Menteri sudah mengarahkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya melihat perkara ini sekaligus disegerakan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura. Insya-Alllah dalam masa terdekat, kita akan peroleh jawapan (status pembukaan sempadan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan bersama Menteri Besar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Tosrin Jarvanthi dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot.

Selepas hampir enam bulan ditutup, Tambak Johor yang disenaraikan sebagai laluan darat paling sibuk di dunia, kembali dibuka kepada rakyat kedua negara untuk merentas sempadan, sejak 17 Ogos lalu.

Bagaimanapun, hanya kira-kira 2,060 rakyat kedua negara dibenarkan merentas sempadan kedua negara setiap hari menerusi skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Mengulas lanjut, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, berkata kepentingan pembukaan sempadan di negeri ini bukan hanya berkisar tentang ekonomi negeri malah ia membabitkan ekonomi negara.

"Pintu masuk selatan tanah air adalah laluan darat tersibuk di dunia dengan pelbagai barangan perdagangan dibawa masuk, pekerja berulang-alik antara dua negara selain kemasukan pelancong.

"Lebih signifikan sebagai satu contoh, hasil perkastaman negara, 50 peratus daripadanya adalah menerusi pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 8:10 PM