Operasi memindahkan gajah liar yang ditangkap Perhilitan Kelantan di Kampung Sungai Tias. FOTO IHSAN PERHILITAN
Operasi memindahkan gajah liar yang ditangkap Perhilitan Kelantan di Kampung Sungai Tias. FOTO IHSAN PERHILITAN
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Seekor gajah jantan liar dinamakan 'Awang Nor' yang menjadi kerisauan penduduk Kampung Sungai Tias berjaya dipindahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung berkenaan gangguan gajah liar yang sudah merosakkan tanaman serta memasuki kawasan penempatan mereka, sejak 25 September lalu.

Katanya, bertindak atas aduan berkenaan, seramai lapan orang kakitangan Perhilitan mengambil tindakan tembak halau bagi menghalau gajah liar itu supaya kembali semula ke hutan simpan berhampiran, namun tidak berhasil.

"Aduan gangguan gajah liar ini adalah aduan berulang yang pernah diterima membabitkan dua gajah liar yang dalam pemantauan Perhilitan dan pihak kami berjaya menangkap seekor gajah liar pada 10.30 pagi, Ahad lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi tangkapan gajah liar itu dijalankan bagi mengelakkan kerugian berterusan kepada penduduk setempat selain memastikan keselamatan penduduk kampung.

"Anggaran jumlah kerugian yang dialami oleh penduduk kawasan ini pada tahun ini adalah kira-kira RM70,000.

"Dengan tangkapan seekor gajah liar ini yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 15 hingga 20 tahun ini, ia sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penduduk kampung untuk ke kebun masing-masing.

"Gajah liar ini dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Serasa untuk mencari sumber makanan dan populasi gajah liar yang mendiami kawasan hutan simpan berkenaan dianggarkan lebih daripada 12 ekor," katanya.

Katanya, seramai 25 kakitangan Jabatan Perhilitan Kelantan ,Terengganu, dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah terbabit dalam pemindahan gajah liar itu yang dianggarkan seberat dua tan.

"Dua gajah denak dari PKGK iaitu Kala dan Suria digunakan bagi membantu operasi pemindahan gajah liar ini yang akan dilepaskan semula ke habitat semula jadi di Taman Negara," katanya.

Katanya, penduduk kampung dinasihatkan sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun sebagai langkah untuk mengurangkan kehadiran hidupan liar di kawasan tanaman mereka.

"Dalam masa orang ramai juga disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88- 5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 9:11 AM