GAJAH yang ditangkap oleh Perhilitan di Kampung Bukit Ipoh, Jeli. FOTO ihsan Perhilitan
GAJAH yang ditangkap oleh Perhilitan di Kampung Bukit Ipoh, Jeli. FOTO ihsan Perhilitan
Hazira Ahmad Zaidi


Jeli: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah betina di Kampung Bukit Ipoh, Jeli, kira-kira 5 petang semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Armanty Haniff Mohamed Hanif berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung terdapat lapan gajah merosakkan tanaman serta berkeliaran di Kampung Bukit Ipoh, Kampung Belimbing, Kampung Dendong dan Air Berching, Jeli sejak 17 Julai lalu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan penduduk bimbang ke kebun selain turut mengalami kerugian akibat tanaman dirosakkan haiwan berkenaan yang dianggarkan berjumlah hampir RM63,000 pada tahun ini.

"Sebelum ini, kami sudah mengambil beberapa tindakan iaitu dengan memberi khidmat nasihat mengenai langkah-langkah pencegahan iaitu pemasangan lampu LED biru untuk mencegah gajah liar masuk ke kebun selain menjalankan beberapa siri operasi tembak halau.

"Tindakan pencegahan ini dilaksanakan selama hampir 30 hari, namun kumpulan gajah liar ini masih berada di kawasan kampung-kampung berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, dengan tangkapan seekor gajah yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 15 hingga 20 tahun itu sedikit sebanyak memberi kelegaan dan rasa selamat kepada penduduk kampung untuk ke kebun masing-masing.

"Kumpulan gajah liar ini dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor untuk mencari sumber makanan.

"Populasi gajah-gajah liar yang mendiami kawasan hutan simpan berkenaan dianggarkan lebih daripada 30 ekor dan musim buah di kawasan berhampiran hutan simpan pada ketika ini menjadi tarikan haiwan ini memasuki kampung," katanya.

Ady Armanty Haniff berkata, operasi pemindahan gajah liar ke habitat lebih sesuai akan dijalankan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Orang ramai juga disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88- 5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 9:50 PM