GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 14 individu yang cuba mengambil kesempatan kelonggaran Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditahan kerana cuba merentas negeri, semalam.

Senior Asisten Komisioner (SAC) Gerakan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, SAC M V Srikumar Nair berkata, sebanyak 391 kompaun dikeluarkan kepada individu kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Daripada jumlah itu, 14 daripadanya adalah cubaan untuk merentas negeri tanpa kebenaran yang sah.

"Bagi tempoh semalam juga sebanyak 4,497 premis di seluruh negara diarahkan tutup kerana melanggar peraturan yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, selain itu sebanyak 16,682 kilang turut diperiksa di mana daripada jumlah itu 31 daripadanya dikompaun dan 13 diarah tutup.

"Premis kilang di Pahang mencatatkan jumlah premis yang diarah tutup tertinggi iaitu sebanyak lapan premis.

"Premis lain yang diarah tutup ialah di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Melaka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 7:32 PM