GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kerajaan akan menilai semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa khususnya di negeri yang sedang mengalami peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian semula ini penting untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan yang diambil adalah berkesan untuk membendung penularan Covid-19 yang sedang meningkat di negara ini.

Katanya, kerajaan sudah pun menggunakan sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bagi mengenal pasti kawasan atau premis yang berisiko menyumbang kepada penularan Covid-19.

"Premis ini akan diarah tutup jika dikesan telah dilawati oleh sejumlah besar mereka yang positif Covid-19.

"Pendekatan ini selari dengan keputusan kerajaan untuk mengawal dan membendung penularan jangkitan Covid-19 secara bersasar.

"Melalui sistem ini, pemantauan dilakukan setiap hari bagi mengenal pasti lokasi tumpuan awam yang berisiko tinggi.

"Justeru, saya menyeru orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan serta mengelakkan daripada berada di tempat yang sempit dan sesak bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada jangkitan Covid-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 2:45 PM