Syarifah Dayana Syed Bakri dan Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik akan dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)

bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah.

Di samping itu, kemudahan pembiayaan termasuk dana untuk rumah mampu milik, Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own (RTO), akan ditambah baik bagi memastikan golongan B40 dan M40 tidak terbeban dengan bayaran ansuran.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selaras dengan Dasar Perumahan Negara, kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti, dan mampu milik demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan telah membina lebih daripada 282,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh RMK-11. Sebanyak 500,000 unit lagi rumah mampu milik akan dibina dalam RMK-12.

"Bagi menyediakan bantuan perumahan kepada rakyat miskin, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM2.25 bilion dalam tempoh RMK-12 untuk membina dan membaik pulih sebanyak 85,500 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah, membabitkan 75,000 unit rumah di kawasan luar bandar, dan hampir 10,500 unit rumah di kawasan bandar.

"Bagimanapun, ia tidak termasuk pembinaan rumah yang dilaksanakan di bawah kerajaan negeri, sektor korporat dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO)," katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 1:52 PM