ISMAIL Sabri ketika mempengerusikan MPMMN secara telesidang. FOTO Ihsan PMO
ISMAIL Sabri ketika mempengerusikan MPMMN secara telesidang. FOTO Ihsan PMO
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan merangka strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, strategi itu akan dilaksanakan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) membabitkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju perumahan swasta.

Menurutnya, MPMMN adalah platform membincang dan menyelaras hala tuju penyediaan rumah mampu milik (RMM) seluruh negara selaras dengan matlamat Satu Keluarga Satu Rumah.

"Mesyuarat hari ini bersetuju menetapkan hala tuju baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) yang mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni.

"Pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen keterhubungan dan akses Internet seperti 'fibre to the home' (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri mempengerusikan MPMMN secara telesidang yang turut dihadiri Menteri Besar dan Ketua Menteri; Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara serta Gabenor Bank Negara.

Ismail Sabri berkata, kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan dan pembiayaan perumahan serta program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam memiliki rumah.

Sementara itu, katanya, Bank Negara juga diminta melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya institusi kewangan memudahkan pinjaman perumahan bagi golongan B40 dan M40.

"Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi dan kerajaan negeri menyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan.

"Kerajaan komited menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda supaya selain memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah," katanya.

Dalam mesyuarat, Ismail Sabri berkata, turut dibincangkan mengenai kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan.

Katanya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) diarah supaya menangani perkara ini.

"Jika ia berpunca daripada permit import (AP), mesyuarat mencadangkan supaya ia dibuka kepada semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 5:44 PM