Amir Abd Hamid


Ampang: Kerajaan berusaha menyediakan rangka penyelesaian bagi menangani peningkatan mendadak kos binaan akibat konflik antara Rusia-Ukraine.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika tidak ditangani ia akan memberi kesan kepada kenaikan harga rumah sekali gus membebankan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan mencari penyelesaian itu selain memudahkan pembelian dan pemilikan rumah pada masa akan datang.

"Kerajaan menyedari kediaman menjadi keperluan mendesak bagi Keluarga Malaysia.

"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan MPMMN, tindakan segera dan jangka panjang sudah digariskan untuk menyelesaikan perkara ini.

"Ini adalah selari dengan usaha memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 dalam usaha mengelakkan mereka daripada menanggung beban kewangan yang berat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis perasmian pecah tanah Residensi PR1MA Astrum Ampang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diperkukuhkan lagi dengan usaha sedia ada agensi kerajaan lain seperti PR1MA misalnya, yang dapat menyumbang secara positif ke arah pemilikan rumah yang lestari.

"Saya juga berterima kasih kepada PR1MA kerana menyahut seruan kerajaan supaya membina lebih banyak rumah mampu

milik di bawah RMK-12 dan menawarkan penyelesaian pembiayaan perumahan kepada Keluarga Malaysia terutamanya golongan muda.

"Kerajaan akan terus menyokong usaha PR1MA dalam membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri yang membolehkan penghuninya menikmati kehidupan yang mampan.

"Falsafah penubuhan PR1MA bukan sekadar membangunkan rumah mampu milik tetapi lebih daripada itu, membina satu komuniti yang bersepadu dan harmoni," katanya.

Beliau berkata, aspirasi kerajaan adalah untuk membina 500,000 rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia di bawah RMK-12 sebagai usaha merealisasikan wawasan 'Satu Keluarga Satu Rumah.'

Sementara itu, katanya, KPKT membuat perancangan untuk melaksanakan pembinaan kediaman baharu berkonsepkan transit atau 'Transit Oriented Development' (TOD).

"Kediaman TOD bukan sahaja memudahkan pergerakan anak muda ke tempat kerja tetapi juga membolehkan negara mencapai sasaran mengurangkan jejak karbon menjelang tahun 2030 selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG30).

"Astrum Ampang, contoh kediaman mampu milik yang mempunyai akses kepada rel Laluan Kelana Jaya dan LRT

Laluan Ampang-Sri Petaling, MRT Sungai Buluh Kajang selain bakal disambung dengan MRT Sungai Buloh-Putrajaya dan LRT 3," katanya.

Ismail Sabri berkata, bagi projek itu 712 kediaman mampu milik berkonsepkan Small Office Home Office (atau SOHO) dan apartmen khidmat (service apartment) di bawah PR1MA akan

ditawarkan pada harga RM250,000 dan RM270,000 dengan keluasan 450 kaki persegi dan 550 kaki persegi dijangka dapat disiapkan pada suku pertama tahun 2026.

"Selain harga mampu milik, pembeli turut menikmati pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, surau, gelanggang badminton dan taman permainan.

"Ini adalah satu tarikan untuk anak muda kita hari ini untuk memiliki kediaman ini," katanya.

ISMAIL Sabri (depan, dua kiri), Reezal (depan, tiga kiri) dan Fathul (depan, empat kiri) melihat replika rumah Astrum Ampang. FOTO Aziah Azmee
ISMAIL Sabri (depan, dua kiri), Reezal (depan, tiga kiri) dan Fathul (depan, empat kiri) melihat replika rumah Astrum Ampang. FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 12:29 PM