GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan terhadap pembunuhan seorang lelaki di Minden Heights, Gelugor, di sini, Jumaat lalu.

Mereka ditahan di tiga lokasi berasingan iaitu Air Itam, Jelutong dan Lebuh Pantai antara jam 5.15 petang hingga 8.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketiga-tiga suspek yang berasal dari Pulau Pinang itu berusia 41 hingga 57 tahun.

Beliau berkata, dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkait jenayah dan dadah.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Semua suspek ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru dan direman selama lima hari sehingga 30 September bagi membantu siasatan," katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga seorang buruh berusia 54 tahun ditemukan terbaring berhampiran motosikalnya dan mengalami kecederaan.

Polis menerima panggilan pada jam 2.30 petang daripada orang awam yang menyangka berlaku kemalangan jalan raya.

Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa disyaki maut selepas dipukul kenalan akibat perselisihan faham.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Sangka kemalangan, rupanya mati dipukul [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 6:31 PM