ZULFADLY memeriksa anak ikan kelah yang sedia untuk dijual kepada pembeli yang menempah secara dalam talian. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
ZULFADLY memeriksa anak ikan kelah yang sedia untuk dijual kepada pembeli yang menempah secara dalam talian. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Idea unik apabila seorang penternak ikan `raja sungai' menggunakan khidmat kurier untuk menghantar ikan ternakannya secara hidup-hidup ke seluruh negara.

Lebih menguja apabila ikan kelah dihantar kepada pelanggan dibungkus rapi dan dipastikan tiba kepada pelanggan dalam tempoh kurang 24 jam.

Ini bagi memastikan ikan ditempah pelanggan itu masih bernyawa sebelum diletakkan ke dalam akuarium sebagai ikan hiasan.

Idea pemasaran dalam talian secara komersil itu dilakukan, Zulfadly Harun, 41 dari Simpang Gelami di sini sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

Namun ia bukan semudah disangka kerana pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk mengenal pasti syarikat penghantaran yang boleh menghantar pesanan kepada pelanggan dengan cepat.

"Anak ikan kelah bersaiz dari tiga hingga lima inci ini hanya mampu bertahan di dalam bungkusan plastik diisi oksigen dalam tempoh 24 jam.

"Saya giat memasarkan anak ikan kelah kepada pembeli dari seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Singapura yang berurusan menerusi aplikasi WhatsApp. Ia dilakukan selepas percubaan pertama menghantar pesanan ikan kelah kepada pelanggan di Pulau Pinang berjaya," katanya tadi.

Dia berkata, anak ikan kelah yang berada d idalam tangki pembesaran dipilih dan kemudian dikuarantin selama tiga sebaik dia menerima pesanan dalam talian.

"Proses kuarantin termasuk memberi ubat kuman selain anak ikan tidak diberi makan dalam tempoh berkenaan. Ia kemudian dimasukkan ke dalam plastik yang diisi dengan oksigen dan dipos kepada pelanggan," katanya semalam.

Zulfadly berkata, sejak berkecimpung dalam bidang berkenaan, sebanyak 10,000 anak ikan kelah sudah dijual kepada orang ramai.

"Anak ikan kelah dijual antara RM15 hingga RM30 seekor bergantung kepada saiz dengan pembelian minimum sebanyak 10 ekor selain pelanggan turut membayar kos penghantaran.

"Biasanya ia dibeli untuk dibela dalam akuarium sebagai ikan hiasan. Namun ada juga dibeli untuk diternak secara komersil," katanya.

Zulfadly berkata, kaedah jualan secara dalam talian adalah medium paling popular dan mudah menarik pelanggan.

Bagi menjana tambahan pendapat, Zulfadly yang pernah bekerja dalam bidang penyiaran turut mengusahakan jualan hiasan dalam akuarium menggunakan pokok senduduk serta menghasilkan bakteria baik untuk merawat air khusus ikan yang dibela di dalam akuarium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 5:23 PM