Syaherah Mustafa


MELIHAT kepada nilai dan potensi besar terhadap penternakan ikan kelah, seorang doktor perubatan menternak 10,000 ikan terbabit di kolam miliknya di Kampung Chicha, Kubang Kerian, Kota Bharu.

Prof Dr Ab Aziz Al Safi Ismail, 63, berkata, bermodalkan RM800,000, dia memulakan penternakan ikan itu termasuk ikan jenis Butterfly Carp di dalam kolam seluas 278.7 meter persegi sejak Mac 2018.

Dia yang juga memiliki klinik sendiri, tidak lokek berkongsi minatnya dalam bidang penternakan ikan yang bukan sahaja memberi pulangan lumayan malah berfaedah untuk perubatan serta turut dijual sebagai perhiasan atau dimakan.

"Ikan kelah memiliki keistimewaan tersendiri yang mana dalam perubatan, kulit dan tulangnya memiliki kolagen yang digunakan untuk merawat luka manakala isinya sedap menjadikannya menu pilihan utama di restoran mahal atau hotel terkemuka.

"Biasanya, tempoh matang bagi ikan kelah ialah 30 bulan sebelum boleh dijual, malah permintaannya juga sangat tinggi.

"Saya turut menjualnya kepada pelanggan di seluruh negara termasuk dieksport ke Thailand dan Singapura.

DR Ab Aziz memantau kawasan ternakan ikan kelah dan ikan koi di kolam miliknya. FITI Nik Abdullah Nik Omar.
DR Ab Aziz memantau kawasan ternakan ikan kelah dan ikan koi di kolam miliknya. FITI Nik Abdullah Nik Omar.

"Selain itu, saya menitik beratkan kualiti ikan ternakan dengan memastikan air kolam sentiasa bersih termasuk diberi makanan berkhasiat seperti labu dan jagung," katanya ketika ditemui di tapak kolam ikan miliknya di Kota Bharu.

Dr Ab Aziz yang juga bapa kepada enam cahaya mata berusia 19 hingga 24 tahun berkata, harga pasaran runcit ikan kelah ialah RM450 sekilogram manakala RM180 sekilogram jika dibeli secara borong.

"Saya dibantu oleh empat pekerja yang bertanggungjawab menjaga ikan ini serta memastikan air kolam sentiasa mengalir dan bersih. Namun, jika ada kelapangan saya akan ke sini setiap hari untuk melihat keadaan ikan serta memberi makan.

"Kolam ikan ini memiliki keistimewaan sendiri kerana ia seperti 'kolam renang' yang besar dan bersih selain dilengkapi 'air terjun'. Kebanyakan yang datang mengakui tenang melihat suasana di sini.

"Saya juga mengalu-alukan orang ramai terutama anak muda untuk turut sama mengusahakan penternakan ikan terutama kelah yang memberi pendapatan lumayan," katanya.

Dr Ab Aziz berkata, bagaimana pun sesiapa yang ingin menceburi bidang penternakan memerlukan kesabaran, kerajinan serta minat yang mendalam untuk berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 10:30 AM