GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Paip pecah berlaku berhampiran Jejambat Ampang Point, Jalan Ampang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 41 kawasan di Gombak.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, Air Selangor menutup bekalan air pada jam 12 tengah hari ini menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 41 kawasan di Gombak.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya pada jam 12 tengah hari esok.

"Bekalan air akan disalurkan selepas kerja pembaikan siap dilaksanakan secara berperingkat.

"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari, 27 September ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Elina berkata, Air Selangor akan turut menggerakkan lori tangki ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

"Pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air dari lori tangki.

"Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300," katanya.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 3:02 PM