TULAR yang mendakwa terdapat kes kencing tikus di Kawasan Rekreasi Taman Eko Rimba Ulu Bendul. FOTO Ihsan pembaca
TULAR yang mendakwa terdapat kes kencing tikus di Kawasan Rekreasi Taman Eko Rimba Ulu Bendul. FOTO Ihsan pembaca
Ahmad Hasbi

Kuala Pilah: Dua individu dimasukkan ke wad Hospital Tuaku Jaafar (HTJ) Seremban, kerana disyaki dijangkiti virus leptospirosis atau kencing tikus selepas berkunjung ke Kawasan Rekreasi Taman Eko Rimba Ulu Bendul di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, pihaknya turut mengesan dua kes membabitkan positif Covid-19 dan satu kes Rotavirus dipercayai mempunyai sejarah perjalanan ke tempat sama.

"Secara keseluruhan pihak kami mengesan 13 kes membabitkan dua positif Covid-19, satu kes rotavirus dan dua kes kencing tikus. Manakala bakinya masih belum mendapat keputusan.

"Individu berkenaan didapati mempunyai gejala demam, cirit-birit, muntah, sakit badan dan lain-lain serta dikesan mempunyai sejarah pergerakan ke pusat rekreasi berkenaan," katanya tadi.

Beliau berkata, lima pesakit membabitkan kencing tikus, rotavirus dan Covid-19 ditempatkan di HTJ, manakala lapan kes yang masih menunggu keputusan masing-masing dirawat di HTJ, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan Hospital Port Dickson (HPD).

Tambah beliau, kawasan rekreasi berkenaan akan ditutup bermula esok sehingga Ahad depan bagi proses pembersihan dan menyahkuman.

"Pengunjung Kawasan Rekreasi Taman Eko Rimba Ulu Bendul dipohon supaya menjaga kebersihan kawasan jeram, kolam dan air terjun. Buang sampah di tempat yang sepatutnya. Kebersihan tempat ini perlu dijaga bagi mengelakkan masalah kesihatan dan masalah lain kelak.

"Kakitangan Unit Pembersihan Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengambil inisiatif membersihkan sampah sarap yang ditinggalkan pengunjung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 6:37 PM