PAKEJ menunaikan umrah masih kurang mendapat sambutan pada masa ini  disebabkan ramai masih bimbang dengan penularan Covid-19.
PAKEJ menunaikan umrah masih kurang mendapat sambutan pada masa ini disebabkan ramai masih bimbang dengan penularan Covid-19.
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penyelarasan harga lantai bagi kos menunaikan umrah yang dinaikkan daripada RM4,900 kepada RM6,900 masih berpatutan dengan situasi semasa pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, jumlah itu dipersetujui semua syarikat agensi pengendali umrah dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) selepas meneliti beberapa perubahan daripada pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) antara dua negara.

"Harga lantai yang dipersetujui semua agensi pelancongan dan Motac ini bertujuan bagi mengimbangi kenaikan beberapa caj disebabkan SOP Covid-19 antaranya caj pesawat yang dulunya RM2,700 hingga RM2,800 kini dinaikkan kepada RM3,000.

"Selain itu, caj penginapan hotel daripada empat orang kepada bayaran dua orang satu bilik mengikut peraturan ditetapkan selain visa kini naik RM600 berbanding dulu hanya RM290.

"Orang ramai jangan terpedaya jika ada syarikat menawarkan kurang daripada jumlah kos minimum ini, maknanya itu satu penipuan," katanya ketika mengulas harga lantai baharu kos menunaikan umrah yang diumumkan Motac, kelmarin.

Motac dalam kenyataannya dilaporkan berkata, kenaikan harga lantai itu turut dipengaruhi oleh bilangan kapasiti di dalam bilik penginapan di Arab Saudi, pengangkutan yang membenarkan 50 peratus penumpang dari jumlah kapasiti sebenar, pengurusan mutawif serta ujian calitan Covid-19.

Kali terakhir penetapan harga lantai dibuat ialah RM4,900 pada 2016.

Mengulas lanjut, menurut kenyataan itu, pakej menunaikan umrah masih kurang mendapat sambutan pada masa ini bukan berpunca daripada kenaikan harga lantai itu, namun disebabkan ramai masih bimbang penularan Covid-19.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd Datuk Md Daud Che Ngah berkata, harga lantai berkenaan tidak membebankan jemaah kerana syarikat pengendali hanya meraih keuntungan antara RM150 hingga RM200.

"Penyelarasan harga lantai itu masih lagi berpatutan dan bersesuaian kerana ada caj perkhidmatan yang dinaikkan ketika Covid-19 ini.

"Kalau terlampau tinggi nanti orang tak mahu pergi umrah dan jika rendah sangat pun pihak agensi pula terpaksa menanggung kerugian," katanya.

Di samping itu, menurutnya, semakin ramai orang mendaftar menunaikan umrah kerana mereka rindukan Kaabah selepas dua tahun terhalang.

"Cuma kita merayu pihak Arab Saudi mempertimbangkan kebenaran jemaah membuat ulangan umrah pada sesi perjalanan sama bagi menutup kekurangan atau ketidaksempurnaan ketika umrah kali pertama dilakukan. Ini bagi mengelak jemaah perlu datang lagi buat umrah pada sesi akan datang dan melalui kesulitan kerana keadaan sekarang lebih sukar, tidak sama lagi seperti sebelum Covid-19 apatah lagi kos juga meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 7:01 AM